Napoli kukuh cengkaman Serie A

Osimhen (dua dari kanan) menyumbat dua gol untuk membantu kemenangan Napoli ke atas Juventus 5-1. - Foto AFP
Osimhen (dua dari kanan) menyumbat dua gol untuk membantu kemenangan Napoli ke atas Juventus 5-1. - Foto AFP
A
A
A

NAPOLI berpeluang cerah menamatkan kemarau gelaran Serie A selama 33 tahun selepas meraih kemenangan berharga menewaskan Juventus 5-1 pada Sabtu.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Luciano Spalletti mengumpul 46 mata, berbeza 10 mata di depan AC Milan.

Pemain sensasi, Victor Osimhen meledak dua gol untuk melebarkan rekod jaringannya musim ini kepada 12 gol.

Turut mencatat nama selaku penjaring ialah Kvaratskhelia, Amir Rrahmani dan Eljif Elmas.

“Saya gembira membantu dengan dua gol dan satu bantuan jaringan. Kami mahu meneruskan rentak positif ini.

“Ia malam yang hebat,” ujar Osimhen.

Bagaimanapun pemain Nigeria itu enggan cepat berpuas hati dengan kemenangan tersebut kerana menganggap perjalanan mereka masih berliku.

“Kami hanya mahu meneruskan kemenangan. Pada akhir musim saya rasa kami ada peluang baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Juventus yang dibimbing Massimiliano Allegri berkunjung ke Stadio Maradona dengan rekod cemerlang menerusi lapan kemenangan berturut-turut.

Malah benteng mereka juga ampuh tidak melepaskan sebarang gol yang menjadikan mereka antara pencabar utama walaupun bermula buruk musim ini.

Bagaimanapun mereka pulang dari Naples dengan kehampaan apabila melepaskan lima gol dalam Serie A pertama kali sejak Mei 1993.