Akhirnya PM yang dinanti sudah 'naik takhta'

Konvensyen Pilihan Raya PKR Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada Sabtu.
Konvensyen Pilihan Raya PKR Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah sekian lama menanti untuk melihat sosok bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, akhirnya impian itu terealisasi apabila beliau dinobatkan sebagai orang nombor satu negara pada November tahun lalu.

Menzahirkan rasa gembira dan syukur berkenaan, Pengarah Pilihan Raya Negeri Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, penantian selama 24 tahun itu akhirnya tercapai meskipun berhadapan liku-liku dan perit ranjau sebelum Anwar berada di kedudukan sekarang.

"Bersama-sama kerajaan pusat Anwar sebagai PM, kita tunggu sekian lama (Anwar) jadi pemimpin besar negara, alhamdulillah kita ikuti setiap masa apa yang PM lakukan," katanya

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bersempena Konvensyen Pilihan Raya PKR Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada Sabtu.

Dalam pada itu menyentuh mengenai prestasi Pakatan Harapan (PH) di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Mohd Yahya mengakui prestasi mereka sedikit 'hambar'.

"Semangat yang sedikit tercalar di peringkat Selangor apabila tewas (beberapa kerusi) dalam PRU15 lalu," katanya.

PH Selangor pada PRU15 lalu memperoleh majoriti kerusi yang ditandingi walaupun kehilangan empat kerusi Parlimen kepada parti lawan.

PH mempertahankan 16 kerusi yang dimenangi sebelum ini termasuk kerusi disandang bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Gombak dan Datuk Zuraida Kamaruddin di Ampang.

Artikel Berkaitan:

Gabungan itu memperoleh 20 kerusi Parlimen pada PRU14 dengan dua kawasan dimenangi Barisan Nasional (BN) iaitu di Sabak Bernam (yang kemudiannya menjadi kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila penyandangnya ketika itu, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh meninggalkan UMNO dan kubu kuat BN di Tanjong Karang.

Bagaimanapun, kali ini, Perikatan Nasional (PN) menang di enam kerusi Parlimen termasuk di Sabak Bernam dan Tanjong Karang serta di Sungai Besar, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kapar, sekali gus menafikan BN sebarang kerusi biarpun nama besar seperti Khairy Jamaluddin dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dipertaruhkan.

Terdahulu penantian penuh debar drama menawan Putrajaya pasca PRU15 mencatatkan detik penting buat negara apabila Anwar dilantik Perdana Menteri ke-10, mengakhiri penantiannya selama 24 tahun sejak digugurkan dari kabinet dan UMNO pada 1998.