Ubah resort terbiar jadi pondok pengajian agama

Bangunan unit penginapan untuk Pondok Warga Emas At-Tahwil di Cherating Bay Resort yang siap dibersihkan dan dalam proses baik pulih. Gambar kecil dari kiri: Fatimah Awang Lah, Ramli Nordin
Bangunan unit penginapan untuk Pondok Warga Emas At-Tahwil di Cherating Bay Resort yang siap dibersihkan dan dalam proses baik pulih. Gambar kecil dari kiri: Fatimah Awang Lah, Ramli Nordin
A
A
A

KUANTAN - Sebuah resort terbiar di Cherating di sini yang ditutup pada 2018 ekoran masalah ekonomi bakal berubah fungsi selepas pemiliknya mengambil keputusan untuk memanfaatkan hartanya itu untuk jalan agama.

Cherating Bay Resort yang sebelum ini terbiar ditutupi semak samun dengan struktur unit penginapan rosak kini telah dibersihkan dan dalam proses dibaik pulih.

Pemiliknya, Ramli Nordin, 73 berkata, ketika ini resort tersebut telah dijadikan sebagai pondok pengajian agama untuk warga emas (Pondok Warga Emas At-Tahwil) yang diuruskan Pertubuhan Amal At-Tahwil sejak tahun 2021.

Menurutnya, daripada 164 unit penginapan yang ada, 36 unit digunakan sebagai kediaman penghuni pondok dan 12 daripadanya telah dibaiki dan sudah dihuni.

"Sebuah surau telah dibina sebagai tempat menjalankan aktiviti agama dan kelas pengajian sementara kemudahan dewan dan kemudahan lain yang sedia ada dibaik pulih," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Anak kelahiran Kuantan itu berkata, keputusan besar itu diambil agar resort yang dibangunkan itu dapat dimanfaatkan dan tidak terus terbiar.

"Saya tidak berhasrat untuk meneruskan operasi resort ini atas beberapa faktor sebelum timbul idea untuk memanfaatkannya bagi tujuan agama dan ummah.

"Terlintas di fikiran untuk buka pondok tapi saya bukan ustaz atau ahli agama jadi idea ini dibincangkan bersama seorang adik yang juga pelajar pondok dan dia menyokong cadangan itu.

Artikel Berkaitan:

"Akhirnya saya berjumpa dan berbincang dengan kawan lama, Fatimah Awang Lah,74 dan dia bersetuju untuk membantu merealisasikannya," ujarnya.

Jelasnya lagi, melalui kerjasama bersama Pertubuhan Amal At-Tahwil, hasrat saya berjaya direalisasikan melalui penubuhan Pondok Warga Emas At-Tahwil yang kini mempunyai 12 penghuni dalam kalangan warga emas.

"Saya juga merancang untuk menggunakan kemudahan sedia ada di resort ini sebagai pusat pengajian agama dan dakwah berkonsepkan percutian islamik.

"Bagaimanapun untuk membaik pulih resort ini memerlukan kos yang besar justeru kami dalam usaha mencari dana bagi tujuan itu.

"Kos untuk membaik pulih bagi setiap unit kediaman dianggarkan antara RM5,000 hingga RM6,000," jelasnya.

Tambah beliau, selain mengharapkan sumbangan orang ramai, cadangan itu juga telah dibawa kepada pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan mendapat maklum balas yang positif.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Amal At-Tahwil, Fatimah Awang Lah berkata, usaha membuka pondok itu bermula selepas penubuhan pertubuhan tersebut sekitar Oktober 2021.

Menurutnya, selepas membersihkan kawasan resort itu, kelas pengajian di pondok itu bermula dengan hanya tiga penghuni sebelum bertambah kepada 12 orang ketika ini.

"Sekiranya unit penginapan yang disediakan dapat dibaik pulih sepenuhnya, kami sasarkan untuk menambah penghuni sehingga 40 orang dalam kalangan warga emas yang sihat.

"Selain itu pelbagai aktiviti dijalankan di sini termasuk kelas dan kuliah agama untuk penghuni dan terbuka kepada orang ramai terutama kepada penduduk setempat," katanya yang bertanggungjawab sebagai penyelaras pondok itu.

Fatimah berkata, selain menjadikan resort itu sebagai pusat pengajian dan dakwah, misi besar mereka adalah untuk mewujudkan percutian berkonsepkan islamik sesuai dengan kedudukannya berhampiran kawasan pantai peranginan Cherating yang terkenal.

"Melalui percutian islamik atau dakwah ini, kami merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti agama atau pakej kursus seperti kelas pengajian kitab dan sebagainya untuk tempoh tertentu kepada orang ramai.

"Mereka boleh membawa keluarga bersama untuk bercuti dan menginap di sini sepanjang mengikuti kursus-kursus agama yang disediakan," ujarnya.

Menurutnya, orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang boleh menyalurkan sumbangan mereka ke akaun Maybank 556093276707 atas nama Pertubuhan Amal At-Tahwil.

"Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi saya di talian 017-3713022 atau Pengerusi Pertubuhan, Ahmad Taufek Zakaria (011-58900193)," katanya.