PM ucap tahniah kepada Sudha Devi

Sudha Devi KR Vasudevan dilantik semula sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel untuk penggal kedua mulai 1 Januari lepas.
Sudha Devi KR Vasudevan dilantik semula sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel untuk penggal kedua mulai 1 Januari lepas.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Sudha Devi KR Vasudevan yang dilantik semula sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel untuk penggal kedua mulai 1 Januari lepas.

Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pelantikan Sudha Devi sebagai pengerusi yayasan tersebut telah menerima sokongan secara konsensus dari kesemua 56 negara anggota Komanwel.

"Beliau merupakan rakyat Malaysia dan wakil benua Asia pertama yang memegang jawatan sebagai pengerusi sejak penubuhan yayasan tersebut pada tahun 1966. Tahniah, Dato’ Sudha Devi!,” kata Perdana Menteri.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Selasa, memaklumkan pelantikan semula Sudha Devi ke jawatan itu adalah cerminan peranan penting Malaysia serta komitmen kukuhnya dalam menyokong kerja yayasan serta organisasi Komanwel secara keseluruhan.

Bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia itu kali pertama dipilih mengetuai Yayasan Komanwel pada 2020 melalui pemilihan yang berlangsung di London dan menjadi orang Asia pertama dipilih sebagai pengerusi sejak penubuhan yayasan itu pada 1966.
Artikel Berkaitan:


Menurut Wisma Putra, sebagai pengerusi Yayasan Komanwel, Sudha Devi akan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengelola, mewakili yayasan pada mesyuarat dan acara antara kerajaan dan berkhidmat sebagai duta untuk mempromosi visi dan nilai yayasan.

Yayasan Komanwel ditubuhkan untuk menyokong dan mengukuhkan penyertaan rakyat, terutama melalui Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dalam membangunkan masyarakat demokratik. - Bernama