PH kecewa tiada pimpinan negeri ketika lawatan PM

Anwar semasa menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Negeri Terengganu di Dewan Senat, UMT pada Khamis.
Anwar semasa menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Negeri Terengganu di Dewan Senat, UMT pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pakatan Harapan (PH) Terengganu menyifatkan tindakan pimpinan kerajaan negeri ini yang tidak kelihatan ketika kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu pada Khamis sebagai biadab dan tidak menghormati tetamu.

Ketua Penerangannya, Mohd Sufian Mat Ali berkata, ketiadaan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan exco kerajaan negeri dilihat seolah-olah meremehkan kunjungan pertama kali pemimpin utama negara itu ke Terengganu selepas dilantik Perdana Menteri.

"Alasan tiada makluman rasmi dari pejabat Perdana Menteri adalah tidak berasas sama sekali kerana Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil hadir menyambut Perdana Menteri.

"Tindakan kerajaan negeri ini ibarat satu pengisytiharan perang antara kerajaan negeri dan pusat, yang semestinya tidak bagus kepada rakyat negeri Terengganu.

"Sedangkan hubungan antara kerajaan negeri dan pusat seharusnya dilangsung dengan baik demi kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu beliau meminta menteri besar bersama barisan exco kerajaan negeri bermuhasabah dan perbaiki profesionalisme mereka bagi kepentingan negeri berbanding politik mereka.

Sementara itu, Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad turut meluahkan rasa kecewa dengan perkembangan tersebut.

Katanya, tiada seorang pun dalam kalangan pemimpin kerajaan negeri atau wakil rakyat Pas kelihatan semasa ketibaan dan keberangkatan pulang Anwar di sini.

Artikel Berkaitan:

"Inikah budaya dan adat yang patut dicontohi dan dibanggakan oleh rakyat dan generasi muda kita ?

"Bukankah Islam mengajak penganutnya untuk meraikan tetamu yang berkunjung, dengan dilayan dengan baik dan menunjuk pekerti yang indah?," soalnya dalam satu kenyataan.

Pada Khamis, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Syarqiyyah, Chedering.

Sesi menghadap Sultan Mizan itu adalah yang pertama buat Anwar, sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu.

Selepas itu, Anwar mengadakan perjumpaan bersama ketua jabatan dan pegawai kanan Persekutuan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus.

ARTIKEL BERKAITAN:JPM nafi PM minta maaf kepada MB Terengganu