Sejam abang bomba pujuk anjing 'merajuk'

Leo ketika memujuk anjing jantan di tingkat tujuh sebuah kondominium di Teluk Kumbar pada Rabu lalu.
Leo ketika memujuk anjing jantan di tingkat tujuh sebuah kondominium di Teluk Kumbar pada Rabu lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Pengalaman memujuk seekor anjing jantan yang tersesat di tingkat tujuh sebuah kondominium di Teluk Kumbar, Bayan Lepas tidak akan dilupakan sampai bila-bila oleh Leo Sana Anak Sandai.

Leo merupakan Pegawai Bomba KB19 dari Balai Bomba Seri Balik Pulau yang videonya tular di media sosial sejak dua hari lalu ketika dalam operasi menyelamat seekor anjing di koridor sebuah kondominium.

Menurut anak jati Sarawak itu, dia dan pasukannya menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk mengatakan seekor anjing berada di koridor di tingkat tujuh.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian bersama rakan sepasukan didapati ada seekor anjing berada di hujung dinding koridor perumahan tersebut.

"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 3 petang Rabu lalu daripada seorang penduduk. Selepas memakai abah-abah untuk tujuan keselamatan, saya terus memanjat dinding lalu turun ke koridor.

"Pada mulanya anjing itu agresif, mungkin sebab ia takut. Ia tidak menyalak tetapi tunjuk gigi. Agak lama saya pujuk tetapi tak berjaya. Selepas itu, saya fikir anjing ini perlu dipujuk dengan makanan. Ada seorang penduduk menawarkan makanan untuk diberikan kepada anjing tersebut.

"Selepas saya ambil makanan yang merupakan nuget dan air itu barulah anjing berkenaan tidak agresif seperti mula-mula mendekatinya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Kata Leo lagi, anjing tersebut mula 'merajuk' dan memalingkan mukanya ke arah dinding koridor.

Artikel Berkaitan:

"Saya bagi makanan pun ia tak mahu, ia berpaling ke dinding. Agak lama juga saya cuba pujuk, lebih kurang satu jam. Nak pegang pun tak boleh, ia berdengus dan tunjuk gigi. Saya tunggu ia 'cool' sikit, terus saya panggil seorang rakan sepasukan supaya bersedia di bahagian hadapan kerana risau anjing itu lompat ke bawah.

"Rakan saya pegang guni, saya pula pegang kain. Kami kurangkan ruang supaya anjing tersebut tidak boleh bergerak ke depan. Selepas itu, saya tutup muka anjing berkenaan dengan kain, terus ia baring. Bagaimanapun, ketika saya nak angkat, ia agresif semula, mungkin berasa terancam," katanya.

Beliau berkata, anjing tersebut akhirnya berjaya dibawa turun namun terlepas.

"Ketika kami bawa turun, ia terlepas dan terus pergi. Daripada maklumat penduduk, anjing tersebut tidak bertuan dan selalu dilihat berkeliaran di kawasan kondominium tersebut.

"Kami percaya, anjing tersebut tersesat dan naik ke tingkat tujuh melalui laluan untuk ke parkir kondominium berkenaan," katanya.

Kata Leo yang berusia 23 tahun, ia merupakan pengalaman pertamanya selama empat tahun berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Leo mengambil masa sejam untuk memujuk anjing jantan di tingkat tujuh sebuah kondominium di Teluk Kumbar pada Rabu lalu.
Leo mengambil masa sejam untuk memujuk anjing jantan di tingkat tujuh sebuah kondominium di Teluk Kumbar pada Rabu lalu.

"Selalunya saya selamatkan haiwan seperti anjing atau kucing yang tersepit atau terjatuh dalam longkang sahaja. Ini merupakan pengalaman pertama saya menyelamatkan anjing tersesat di koridor kondominium dan lebih menarik, saya perlu memujuk haiwan tersebut selama sejam.

"Pengalaman ini akan saya ingat sampai bila-bila, tambahan pula video ketika saya memujuk anjing tersebut telah tular di media sosial," katanya.

Sebelum ini, tular video seorang anggota bomba sedang memujuk seekor anjing yang dikatakan merajuk di koridor sebuah kondominium.

Video berdurasi 37 saat tersebut dimuat naik di Facebook JBPM yang mendapat 44,200 tanda suka, lebih 4,000 komen daripada warganet dan dikongsi oleh 10,800 pelayar Facebook.

https://www.instagram.com/tv/CnWLMxLtFeP/?utm_source=ig_web_copy_link