MOT akan ubah budaya penyelenggaraan MRT

Anthony Loke Siew (tengah) menyaksikan majlis MOU antara Mydin yang diwakiki Ameer Ali (kiri) dan Chin Wen Hau.
Anthony Loke Siew (tengah) menyaksikan majlis MOU antara Mydin yang diwakiki Ameer Ali (kiri) dan Chin Wen Hau.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memantau dan mengubah budaya penyelenggaran tren Transit Aliran Massa (MRT) di negara ini ke arah yang lebih baik.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia bagi memastikan masalah atau gangguan operasi yang sering berlaku dapat diatasi sekali gus mengurangkan rungutan pengguna.

"Semalam (Khamis) memang ada gangguan dalam MRT Kajang Line dan saya sudah minta pihak pengurusan untuk memberi penjelasan dengan apa yang berlaku.

"Ia disebabkan masalah teknikal seperti mana berlaku kepada MRT lain sebelum ini. Pihak pengurusan sedar, selenggaraan perlu dilakukan khususnya kepada pertukaran roda-roda tren-tren ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) dan syarikat logistik tempatan, GoBuilders Netsoft Sdn Bhd (Golog) di sini pada Jumaat.

Menurutnya, sedar yang masalah seumpama itu membuatkan orang ramai kecewa dengan perkhidmatan diberi, namun pihaknya akan memastikan ia ditambah baik.

Jelasnya, penyelenggaran tren mengambil masa antara enam hingga lapan bulan dan dijangka dapat diselesaikan pada suku ketiga tahun ini.

Pada Khamis, pengguna MRT laluan Kajang terkandas selepas tren dinaiki mereka mengalami tekanan angin yang rendah di Stesen Pasar Seni.

Artikel Berkaitan:

Prasarana dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan, kerja baik pulih berjaya diselesaikan dan perjalanan bagi laluan Kajang kembali normal pada Khamis.

Mengulas mengenai MoU itu, Anthony berkata, pihaknya mengalu-alukan perkhidmatan disediakan Golog yang menyediakan perkhidmatan logistik rangkaian sejuk.

"Perkhidmatan ini dapat mengatasi masalah barangan rosak sebelum sampai kepada pihak pengguna," katanya.

Majlis MOU itu diwakili oleh Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings, Datuk Ameer Ali Mydin dan Golog yang diwakili oleh Pengasasnya, Ivan Chin Wen Hau.