Krisis politik di Sabah belum selesai - Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO Sabah menegaskan krisis politik di negeri itu masih belum selesai walaupun kabinet baharu telah dibentuk.

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ini disebabkan pembentukan kerajaan negeri pada peringkat awal adalah daripada UMNO dan Perikatan Nasional (PN).

“Dan ini pun menjadi persoalan jadi tak mengapalah. Orang main politik, kita main politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan krisis politik di Sabah dilihat tidak akan berakhir dengan rombakan kabinet yang dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berpandangan, ia selepas BN dan UMNO kini terpecah dua dan Pakatan Harapan (PH) menyertai kerajaan Hajiji.

Bung yang merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan turut menambah bahawa tidak ada langkah penggulingan terhadap kerajaan negeri.

“Mengguling dengan membentuk kerajaan lain. Mengguling ini niat jahat. Tujuan kita ini untuk memperbetulkan hala tuju politik itu supaya rakyat dan Sabah itu menjadi sebuah negeri mampu untuk dibangunkan.

Artikel Berkaitan:

“Mengguling ini bermakna dia membinasakan. Mesti ada definisi berbeza.

“Insya-ALLAH kita tidak (ada langkah) menggulingkan, apa yang kita buat untuk menentukan rakyat Sabah itu mendapat tempat yang sebenarnya oleh pemerintahan pada ketika ini,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, UMNO Sabah akan cuba berfungsi sebagai sebuah parti yang bermaruah.

“Insya-ALLAH apapun yang berlaku UMNO Sabah tetap relevan dan berfungsi sebagai sebuah parti yang bermaruah,” ujarnya.