'Mama baliklah, kami semua rindukan mama' - Norhaida

Salmiah (kiri) ketika berkunjung dan menyampaikan bantuan ke kediaman keluarga terbabit di Kampung Chengal pada Khamis.
Salmiah (kiri) ketika berkunjung dan menyampaikan bantuan ke kediaman keluarga terbabit di Kampung Chengal pada Khamis.
A
A
A

TEMERLOH - "Mama baliklah, kami semua rindukan mama," Itu luahan Norhaida Abdullah,13, selepas ibu mereka, Norhana Rizuwan, 33, tidak pulang ke rumah dan mendiamkan diri tanpa khabar berita sejak beberapa bulan lalu.

Norhaida bersama lima adiknya, Muhammad Shahrul Nizam,12, Nurul Syawana,10, Muhammad Syahrul Iman, 7, Nurul Syawani, 6 dan Amirul Mukminin, 2, yang juga anak yatim kini menumpang kasih dengan nenek mereka, Ramlah Senik, 55 dan datuknya, Rizuwan Puteh, 59, di Kampung Chengal di sini.

Ujar anak sulung itu, ibu mereka bukan sahaja tidak pulang ke rumah malah dia juga tidak menjawab panggilan atau membalas mesej selepas kali terakhir pada 21 November tahun lalu.

"Kami semua berharap mama balik jenguk kami. Kesian Mak Tok, Tok Wan serta Pak Long yang jaga kami semua," kata Norhaida yang berhasrat menjadi doktor.

Keluarga itu ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor pada Khamis.

Sementara itu, Ramlah memberitahu, menantu lelakinya telah meninggal dunia pada Mac tahun lalu manakala ibu mereka yang juga anak bongsunya daripada tiga beradik itu, keluar meninggalkan rumah selepas Ramadan lalu untuk mencari pekerjaan di Terengganu.

"Sebelum ini Norhana ada telefon bertanyakan khabar dan berjanji untuk pulang ke rumah namun dia tidak pernah ditunaikan. Mesej terakhir daripadanya pada November lalu, selepas itu langsung tiada sebarang khabar.

"Buat masa ini, saya dan suami dibantu anak sulung menjaga cucu walaupun sukar dengan keadaan suami yang kurang upaya serta anak, Mohd Azlan, 37, pula hanya bekerja di kedai santan.

"Saya juga bekerja sebagai pembantu gerai mi dengan pendapatan RM40 sehari tapi hanya kerja tiga hari seminggu," tambahnya.

Ramlah, Norhaida
Ramlah, Norhaida

Menurut Ramlah, dia dan suaminya amat berharap Norhana pulang melihat anak-anaknya selain memikirkan masa depan enam beradik tersebut.

"Selepas ibu mereka pergi, memang nampak cucu-cucu jadi pendiam selain risau dengan Amirul yang turut mengidap penyakit sawan," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Ramlah memberitahu memang ada keluarga yang ingin mengambil cucu-cucunya sebagai anak angkat, namun dia menolak tawaran tersebut.

"Saya dan suami tak sanggup pisahkan cucu-cucu dan akan jaga mereka sedaya mungkin," katanya.

Jelas Ramlah, bantuan bulanan yang diberikan pihak kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), zakat serta beberapa pihak lain digunakan sebaik mungkin untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga yang kini tinggal menyewa di kampung itu dengan bayaran RM180 sebulan.

Sementara itu, Salamiah memberitahu, nasib keluarga tersebut antara yang mendapat perhatiannya dengan bantuan berkala diberikan selain membantu persekolahan enam beradik tersebut.

"Antaranya kita membantu menempatkan dua beradik lelaki di sebuah rumah anak yatim di sini," tambah Salamiah.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 0640041000174298 atas nama Ramlah Bt Senik atau menghubungi di talian 01126700936 untuk sebarang pertanyaan lanjut