Bunuh politik wang sebelum politik wang bunuh UMNO

Mohamad berucap pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di WTC pada Rabu. - Foto Bernama
Mohamad berucap pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di WTC pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO perlu membunuh politik wang sebelum politik wang membunuh parti itu sendiri, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut beliau, kesemua ahli parti itu perlu beriltizam untuk memerangi politik wang dan mematikannya.

“Politik wang telah menjerumuskan UMNO ke tahap sekarang. Ia bukan sahaja menyebabkan UMNO tewas, tetapi menjadikan parti kita semakin lemah dan tidak berketahanan.

“Kepada semua ahli UMNO, sedarlah, politik wang adalah jelik, jijik dan sangat keji. Keji pada agama, keji pada adat, keji pada amalan.

“UMNO hanya untuk mereka yang bersih, berjuang, dan mengasihi bangsanya. Kita mesti membunuh politik wang, sebelum politik wang membunuh UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Rabu.

Berikut merupakan antara iltizam kolektif yang dicadangkan bagi penambahbaikan parti tersebut.

Selain itu, katanya, UMNO mesti melupakan nafsunya untuk berkuasa dengan sebesar-besar kekuasaan.

Artikel Berkaitan:

“UMNO hanya ada satu sahaja pilihan iaitu membangunkan semula keyakinan orang Melayu terhadapnya dan menjadi wadah gerakan politik amal dan bakti untuk bangsa Melayu.

“Kerana itu, UMNO menyertai kerajaan dengan telus, mengikut lunas-lunas perlembagaan. Iltizam UMNO adalah untuk menyuburkan demokrasi Malaysia, dengan mengukuhkan sistem kerajaan yang inklusif dan politik berprinsip.

Antara lain, tambahnya, meskipun UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan, namun parti itu akan menjadi wadah semak dan imbang yang tegas dan benar-benar efektif.

“UMNO akan memberikan alternatif yang lebih baik bukannya sekadar menabur harapan yang kemudiannya dimungkiri sesedap rasa,” jelasnya.

Mohamad menambah, UMNO yang telah tewas akan menjadikan idea sebagai modal politik dan tidak lagi wang dan kuasa.

“UMMO akan menggunakan kecerdikan, pemikiran unggul, idea terbaik dan fikrah yang progresif sebagai modal politiknya.

“Ia mesti dibangunkan semula, dengan pemikiran terbaik. Pendekatan paling kreatif. Idea paling luar biasa dan mempesonakan,” ujarnya.

Akhir sekali, menurut beliau, UMNO perlu menyemak kembali agenda Melayu demi kemajuan bangsa dan tanah air.

Jelasnya, ia adalah untuk menjadikan UMNO sebagai suara sebenar kepada orang Melayu dan seluruh warga tanah air ini.

“Memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu tidak akan dilakukan dengan meminggirkan bangsa lain dalam apa jua cara. Sudah tiba masanya, agenda Melayu UMNO disemak. Ia mesti direkayasa, diberikan lonjakan baru, dan ditambah nilai.

“Dengan semakan semula Agenda Melayu ini, UMNO akan ada tawaran baru kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia,” tambahnya.

Ikuti perkembangan semasa mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini!