Tonik tambahan Wai Ching sebelum ke Dubai

Wai Ching (kanan) bersama peserta pertandingan Top Tower Run Komtar Penang Sabtu lalu. - Foto FB Soh Wai Ching
Wai Ching (kanan) bersama peserta pertandingan Top Tower Run Komtar Penang Sabtu lalu. - Foto FB Soh Wai Ching
A
A
A

KEJAYAAN melakar rekod baharu larian menara menjadi penyuntik semangat buat jaguh dunia, Soh Wai Ching untuk mengukir nama dengan pelbagai lagi kejayaan di pentas antarabangsa.

Wai Ching mencipta rekod baharu kebangsaan dengan catatan 7:18 minit (m) untuk mengungguli Top Tower Run Komtar Penang Sabtu lalu.

Atlet berusia 29 tahun itu optimis mampu memecahkan rekod peribadi 7:39m yang dilakar pada 2019, biarpun cuma berlatih kira-kira dua minggu sebelum pertandingan di Pulau Pinang itu.

"Prestasi ketika ini lebih baik berbanding 2019, jadi saya yakin untuk memecahkan rekod pada kejohanan kali ini," katanya.

Beliau berkata, sasaran awal adalah untuk mencatat masa sekitar 7:30m, namun tidak menyangka setelah berakhir larian, masa rasmi adalah rekod kebangsaan.

"Selepas melepasi garisan penamat saya menekan jam di tangan, kemudian rebah sejurus selepas itu.

"Selepas itu bila melihat jam tangan, ia menunjukkan masa 7:23m. Selepas mengetahui keputusan rasmi dan membuat semakan catatan masa rasmi saya ialah 7:18.88m.

"Jadi saya memecahkan rekod sebelumnya dengan perbezaan 21 saat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wai Ching memberitahu, selepas ini dia akan menyertai pertandingan di Dubai yang bakal diadakan di Hotel Media One.

"Tahun ini saya sasar untuk mencatat rekod baharu bagi setiap pertandingan yang disertai.

"Saya juga sasar untuk mencapai dua Rekod Dunia Guinness," ujarnya.