Jenayah indeks menurun pada 2022

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Statistik jenayah indeks tahun lalu didapati menurun 4.1 peratus kepada 50,819 kes berbanding 52,974 kes pada tahun 2021.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, selain itu usaha giat pembanterasan penyalahgunaan dadah turut menunjukkan peningkatan tangkapan sebanyak 163,740 orang pada tahun lalu.

"Tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) juga merekodkan peningkatan pada tahun lalu sebanyak 1,261 orang berbanding 1,186 orang pada tahun 2021.

"Ini jelas membuktikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited untuk memerangi musuh nombor satu negara," katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan di Bukit Aman pada Rabu.

Acryl Sani berkata, statistik kes jenayah komersial menunjukkan penurunan pada tahun lalu dengan mencatatkan 30,536 kes berbanding 31,490 kes bagi tempoh yang sama bagi tahun 2021.

"Bagi kes berkaitan penyeludupan, migran dan khazanah negara pula menunjukkan peningkatan bilangan kes, tangkapan dan nilai rampasan yang direkodkan iaitu 2,866 kes dengan 5,945 tangkapan dan RM495.6 juta pada tahun lalu.

Acryl Sani bergambar bersama warga PDRM di Bukit Aman pada Rabu.
Acryl Sani bergambar bersama warga PDRM di Bukit Aman pada Rabu.

"Pada tahun 2021 sebanyak 2,811 kes dengan 4,840 tangkapan dan nilai rampasan RM445.9 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua warga PDRM perlu memperkasakan integriti, memantapkan penyampaian perkhidmatan dan mendukung dasar dan usaha kerajaan dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat.

"Pemerkasaan integriti perlu menjadi pegangan utama setiap warga PDRM, yang dituntut melaksanakan tugas secara profesional berlandaskan undang-undang.

"Integriti juga perlu diperkukuhkan menerusi penerapan amalan betulkan yang biasa, dan biasakan yang betul, di semua sudut dalaman pasukan," katanya.

Dalam pada itu, Acryl Sani turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga pasukan yang berjaya mengekalkan momentum kecemerlangan dan kekal komited dengan peranan dan tanggungjawab.

"Saya amat berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan demi meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap keupayaan PDRM dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara," ujarnya.