Unit K9 digunakan kesan Muhammad Zahiruddin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BANGI - Unit K9 (Unit Anjing Pengesan) digunakan bagi mengesan pencarian kanak-kanak berusia lapan tahun, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.

Tinjauan Bernama mendapati, Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA telah memulakan operasi mencari sejak 12 tengah hari tadi.

Pencarian dilakukan berdasarkan maklumat yang diperoleh setakat ini daripada keterangan ibu Muhammad Zahiruddin, Sainih Sunding dan bapanya Mohd Fauzi Abdul Ghafar.

Proses pencarian dimulakan di kawasan sekitar pangsapuri kediaman Muhammad Zahiruddin atau dipanggil Zahir dan diteruskan sehingga kawasan kolam takungan dan di tebing Sungai Semenyih.

Sementara itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi telah tiba ke lokasi bagi membantu pencarian.

Semalam, Bernama melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra, Bangi, di sini, sejak kelmarin.

Sainih, 46, berkata anak bongsu daripada lima beradik itu tidak ke sekolah pada hari tersebut dan keluar untuk bermain dengan rakan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof mengesahkan menerima laporan kehilangan Zahir. -Bernama

Artikel Berkaitan: