20 bas sekolah di Johor diperiksa

Tosrin menampal pelekat sebagai gimik pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersama Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah negeri dengan kerjasama Puspakom Johor Bahru.
Tosrin menampal pelekat sebagai gimik pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersama Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah negeri dengan kerjasama Puspakom Johor Bahru.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Sebanyak 20 bas sekolah telah membuat pemeriksaan kenderaan secara berkala dengan mendapat laluan istimewa di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (Puspakom).

Ia menerusi Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersama Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah negeri dengan kerjasama Puspakom Johor Bahru.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Maisara Ashran Mustafa berkata, selain itu, semua peserta kempen turut diberi pendedahan menerusi taklimat teknikal bas sekolah oleh Puspakom Johor Bahru serta taklimat tips keselamatan jalan raya oleh JKJR.

Menurutnya, ketika Malaysia bergerak ke arah merealisasikan hasrat menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi, jumlah pemilikan kenderaan bermotor juga telah menyaksikan peningkatan.

"Ini telah meningkatkan pendedahan trafik yang membawa kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya.

"Akibatnya, negara kerugian hampir RM9 bilion setahun akibat kos sosial. Sebanyak 6,740 kematian direkodkan di Malaysia pada tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, Johor merupakan negeri kedua tertinggi kematian akibat kemalangan jalan raya iaitu 1,067 kes dan berikutan itu diharap kempen ini dapat mengurangkan berlaku kemalangan," katanya.

Program tersebut disempurnakan Adun Bukit Permai merangkap Penasihat Persatuan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah negeri, Tosrin Jarvanthi.

Hadir sama, Pengurus Puspakom Wilayah Selatan, Roslan Abdul Sani dan Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah negeri, Muruga Malai.
Artikel Berkaitan:


Maisara berkata, bersempena program itu, peserta dan tetamu jemputan berpeluang melihat keadaan sebenar semasa pemeriksaan kenderaan dibuat oleh pihak Puspakom Johor Bahru.

"JKJR turut membuat advokasi keselamatan jalan raya kepada pemandu-pemandu bas yang hadir pada hari tersebut.

"Diharap kempen ini mampu memberikan impak yang besar dalam usaha memupuk dan menyemai sikap pemanduan yang berhemah terutamanya dalam kalangan pemandu bas sekolah.

"Ia sekali gus dapat memberikan mesej dan panduan pemanduan yang selamat," katanya.