Anwar, Jokowi capai kata sepakat

Anwar (kiri) dan Jokowi mengadakan sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala mereka pada Isnin di Istana Bogor Jawa Barat.
Anwar (kiri) dan Jokowi mengadakan sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala mereka pada Isnin di Istana Bogor Jawa Barat.
A
A
A

JAWA BARAT - [DIKEMAS KINI] Pertemuan empat mata antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) pada Isnin mencapai kata sepakat dalam empat perkara utama sempena lawatan rasmi Anwar ke negara itu.

Persepakatan tersebut melibatkan kerjasama ekonomi; pengambilan dan perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI); pembatasan sempadan darat dan maritim serta isu serantau dan antarabangsa.

Pada sesi kenyataan bersama selepas pertemuan itu, Anwar dan Jokowi juga setuju beberapa perkara lain yang dibincangkan tetapi belum diputuskan akan diselesaikan segera dengan perjanjian ditandatangani tahun ini.

Mengenai kerjasama ekonomi, Anwar berkata, Indonesia merupakan rakan perdagangan dan pelaburan yang strategik bagi Malaysia.

Menurutnya, sehingga suku kedua 2022, pelaburan Malaysia di Indonesia sebanyak RM59.8 bilion dan pelaburan Indonesia di Malaysia berjumlah RM4.2 bilion.

"Saya telah usulkan kepada Presiden (Jokowi) agar pelabur dari Indonesia agar terus meningkatkan pelaburan di Malaysia.

"Maka saya mengalu-alukan penandatangan lapan Memorandum Persefahaman (MoU) antara sektor swasta kedua-dua negara yang dianggarkan bernilai RM1.16 bilion.

"Syarikat Malaysia juga mengemukakan Surat Minat (LoI) untuk terlibat dalam projek pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara," katanya di Istana Bogor di sini.

Artikel Berkaitan:

Anwar turut berkongsi dengan Jokowi mengenai kemajuan pembangunan berasaskan tenaga boleh baharu melibatkan Sarawak Energy Berhad yang sedang aktif membangunkan Mentarang Induk Hydroelectric Plant (MIHEP) dengan kerjasama syarikat Indonesia, PT Kayan Hydropower Nusantara.

Ujar beliau, projek itu signifikan bagi menyokong Kawasan Perindustrian dan Pelabuhan Antarabangsa di Tanah Kuning, Kalimantan Timur.

Tambahnya, Malaysia sentiasa menghargai sumbangan TKI dan PDI kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.

"Saya memberi jaminan kepada Presiden bahawa Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia bagi memastikan pengambilan dan perlindungan PDI adalah berlandaskan undang-undang negara sedia ada," tegasnya.

Sehubungan itu, Anwar mencadangkan supaya rundingan bagi menyemak semula Memorandum Persefahaman Penggajian Tenaga Kerja Indonesia (MoU TKI 2004) disegerakan agar selari dengan perubahan dasar dan undang-undang kedua-dua negara.

Sementara itu, Jokowi pada sesi sama mengulangi permintaan berhubung kepentingan pembangunan pusat pembelajaran komuniti di Semenanjung Malaysia untuk anak-anak pekerja migran Indonesia.

Berhubung isu pembatasan sempadan darat dan maritim, kedua-dua pemimpin telah mengambil maklum kemajuan rundingan serta bersepakat dipergiatkan untuk mencari penyelesaian segera.

"Ini supaya kedua-dua pihak dapat meneruskan agenda pembangunan di kawasan-kawasan tersebut dan memelihara kedaulatan dan integriti wilayah masing-masing," katanya.

Berkenaan isu diskriminasi minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU), Anwar dan Jokowi bersetuju untuk meneruskan kerjasama rapat dengan menyifatkan kempen itu tidak berasas.

Malah ia tidak mencerminkan kelestarian industri minyak sawit di kedua-dua negara itu dan bercanggah dengan komitmen EU serta World Trade Organisation (WTO) bagi amalan perdagangan bebas.

"Berkaitan krisis di Myanmar, kami bersependapat bahawa proses yang diterajui ASEAN, khususnya pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara merupakan wadah terbaik bagi mencari penyelesaian damai di negara tersebut.

"Usaha melaksanakan persetujuan ini perlu diteruskan selaras dengan keputusan pemimpin ASEAN pada sidang kemuncak, November lalu," jelasnya.

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai hubungan Amerika Syarikat dengan China, khususnya bagaimana persepakatan negara terbabit dapat terus menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau serta ekonomi dunia.

"Semasa pertemuan ini juga, saya telah menyatakan keyakinan dan sokongan Malaysia terhadap kepimpinan Indonesia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2023," kata Anwar.

Justeru beliau menyifatkan pertemuan di Istana Bogor telah membuahkan hasil kesepakatan penting dalam merencanakan hala tuju hubungan dua hala di masa akan datang.

Tambahnya, bagi meneruskan momentum sedia ada dan sebagai langkah susulan, Malaysia berharap agar kedua-dua negara dapat mengaktifkan semula beberapa mekanisme dua hala.

"Seperti Rundingan Tahunan Ke-13 dan Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala Ke-17 dan lain-lain yang tertangguh gerak kerja disebabkan pandemik Covid-19," katanya.