Poligami: 'Bukan soal izin isteri tapi kebenaran mahkamah'

Mohd Fared (dua dari kanan) melihat sijil diterima peguam syarie selepas Majlis Pentauliahan Amalan Guaman Syarie di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru pada Ahad.
Mohd Fared (dua dari kanan) melihat sijil diterima peguam syarie selepas Majlis Pentauliahan Amalan Guaman Syarie di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Mahkamah Syariah negeri ini akan mengambil kira kepentingan semua pihak terlibat sebelum kebenaran berpoligami diberikan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, langkah tersebut bagi memastikan alasan berpoligami itu relevan.

"Kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana lelaki untuk berpoligami namun mereka dinasihati berbuat demikian menggunakan saluran disediakan iaitu dengan membuat permohonan di Mahkamah Syariah.

"Poligami bukan soal izin isteri tetapi lebih tepat adalah kebenaran perintah mahkamah, selepas teliti semua keperluan, permohonan secara baik kepada mahkamah menunjukkan suami adil dan menghormati isteri," katanya.



Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pentauliahan Amalan Guaman Syarie di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar pada Ahad

Turut hadir, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Syariah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Halid Sono.

Mohd Fared berkata, dalam setiap permohonan berpoligami melalui proses mahkamah, isteri akan dimaklumkan malah akan dipanggil untuk memberikan pendapat berhubung permohonan suaminya dan penilaian akan dibuat kemudian.

Jelas beliau, tiada halangan untuk mana-mana lelaki berpoligami sekiranya mereka mampu berlaku adil dan memenuhi semua syarat-syarat ditetapkan bagi memastikan hak dan kesejahteraan semua pihak terbela.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu berkata, pihaknya sudah meluluskan 93 permohonan berpoligami di Johor sepanjang tahun lalu.

"Sepanjang 2022, kita telah terima 93 permohonan daripada suami untuk berpoligami dan selepas pemeriksaan kriteria dibuat, kesemua permohonan tersebut diluluskan. Mahkamah tidak berada dalam posisi menolak selagi mana pemohon layak untuk berpoligami.
Artikel Berkaitan:


"Langkah ini dibuat bagi mengelakkan sebarang permasalahan daripada berbangkit pada kemudian hari," ujar beliau.

Sementara itu, Mohd Fared berkata, seramai 197 peguam syarie diberi pentauliahan dalam majlis tersebut yang membenarkan mereka memberikan perkhidmatan guaman kepada rakyat di negeri ini.

"Kita perlu maklumkan pada tahun ini hanya satu daripada 87 permohonan peguam syarie yang diluluskan.

"Pengambilan ini memang agak terhad, namun ia bukan bermaksud kita menyekat pelantikan peguam syarie, sebaliknya kita hendak mengawal dan menitikberatkan mutu serta kualiti peguam syarie di negeri ini," katanya.