Harga umrah naik: Siapa nak bantu?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jemaah umrah hari ini dikejutkan dengan jangkaan peningkatan harga pakej umrah yang bakal dikenakan kepada mereka.

Terdapat juga pihak menyatakan bahawa kenaikan mencecah sehingga 100 peratus tersebut telah berlaku sejak November lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Naib Presiden Haji dan Umrah Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Azri Abd Razak, kenaikan berpunca daripada kadar harga hotel di Kota Makkah dan Madinah yang meningkat secara mendadak pada masa ini.

Oleh demikian, harga pakej umrah yang sudah ditetapkan oleh segelintir agensi pelancongan terpaksa dinaikkan bagi menampung peningkatan harga hotel berkenaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham pula berkata, ketidakstabilan harga perkhidmatan seperti Visa, penerbangan hotel menyebabkan jemaah menanggung kenaikan melebihi 50 peratus.

“Situasi itu dikesan mula berlaku sejak November lalu, ekoran daripada kenaikan jemaah umrah selepas Arab Saudi membenarkan penggunaan visa pelancongan untuk tujuan ibadah berkenaan,” katanya.

Bagi tiket penerbangan, ujarnya, kenaikan sehingga 109 peratus yang mana pada awalnya RM2,300 tetapi kini meningkat kepada antara RM4,800 hingga RM5,000.

Disebabkan kenaikan itu, terdapat segelintir jemaah umrah tidak mempunyai pilihan selain membayar caj tambahan harga pakej untuk meneruskan rancangan asal berangkat ke Tanah Suci.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, bagi mereka yang tidak berkemampuan, digalakkan untuk menunda niat baik itu terlebih dahulu daripada meminjam dari orang lain.

Ini kerana ia dikatakan hanya membebankan diri sendiri kerana perlu berhutang bagi melaksanakan ibadah sunat itu.

Meskipun bakal jemaah perlu menanggung kos kenaikan tersebut, namun ada di antara mereka masih mengharapkan cahaya dihujung terowong.

Semestinya mereka mengharapkan sedikit bantuan daripada kerajaan dalam menyelesaikan isu tersebut. Penulis juga beranggapan begitu, sekiranya boleh dibantu, harap dapat disalurkan dengan segera.