Anwar mulakan lawatan rasmi pertama ke luar negara hari ini

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

JAKARTA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan tradisi bertemu rakan sejawat di Indonesia dalam lawatan rasmi pertama ke luar negara bagi membincangkan beberapa agenda penting ke arah mempertingkatkan hubungan dua hala.

Tambahan pula, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) merupakan ketua negara terawal mengucapkan tahniah kepada Anwar selepas dilantik menerajui kepimpinan baharu negara pada 24 November lalu.

Memulakan rangka kerja lawatan selama dua hari bermula Ahad itu, penerbangan khas membawa Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarbangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada jam 2.10 petang, waktu tempatan.

Lawatan Perdana Menteri itu akan turut diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pada jam 5 petang, Anwar bakal menyaksikan majlis memeterai sembilan memorandum persefahaman (MoU) antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia di sebuah hotel di sini sebelum bersama diaspora Malaysia dalam satu majlis makan malam di kedutaan negara di Jakarta.

Program hari kedua bermula seawal jam 8.25 pagi dengan menziarahi Taman Makam Pahlawan Nasional Utama Kalibata (TMPN) iaitu perkuburan khas bagi mereka yang berjasa kepada negara tersebut termasuk pahlawan nasional, anggota tentera dan pegawai tertinggi.

Acara kemuncak lawatan sulung Anwar ke luar negara itu dijadual berlangsung pada jam 10 pagi dalam majlis sambutan rasmi di Istana Bogor bagi pertemuan empat mata dengan Jokowi.

Mesyuarat di antara kedua-dua pemimpin berkenaan memberi peluang menilai kemajuan kerjasama dua hala, meneroka peluang baharu dan menangani cabaran serantau serta global.

Artikel Berkaitan:

Antara isu utama yang akan dibincangkan adalah kerjasama ekonomi termasuk potensi pelaburan oleh Malaysia di Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara dan strategi bagi menangani diskriminasi minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU).

Selain itu, mengenai pembatasan sempadan darat dan maritim, pengambilan dan perlindungan pekerja migran dari Indonesia serta kepengerusian Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) oleh Indonesia pada tahun ini.

Kedua-dua pemimpin tersebut kemudiannya akan menyaksikan penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LoI) oleh syarikat-syarikat Malaysia kepada Pengerusi Nusantara, Bambang Susantono untuk pembangunan IKN Nusantara sebelum menghadiri satu sidang media bersama di lokasi sama.

Malaysia melihat pembangunan IKN Nusantara di Kalimantan bakal memberi manfaat kepada negara terutama Sabah dan Sarawak.

Indonesia merupakan rakan dagang global rakan dagang keenam terbesar dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN bagi tempoh Januari hingga November 2022 dengan peningkatan jumlah dagangan sebanyak 41.7 peratus iaitu RM120.26 bilion berbanding 2021.

Anwar seterusnya pada jam 3 petang dijangka menyampaikan syarahan umum bertajuk Hubungan Strategik Malaysia Indonesia Menara Bank Mega dan menamatkan lawatan rasmi ke negara republik itu dengan sidang media bersama wartawan Malaysia.