Perjuangan menubuhkan UKM

Universiti Kebangsaan Malaysia secara rasmi mengambil pelajar pertamanya pada tahun 1970.
Universiti Kebangsaan Malaysia secara rasmi mengambil pelajar pertamanya pada tahun 1970.
A
A
A

MASA berjalan rasanya terlalu pantas, pejam celik pejam celik, kita sudah meninggalkan tahun 2022.

Pandemik, elemen yang telah menentukan jejak perjalanan masa silam itu. Meski kita masih dalam situasi pandemik itu, tetapi terasa sudah berkurangan. Namun, ketakutan masih menguasai perjalanan hidup.

Sesuatu yang telah terpahat menjadi sejarah ialah Perdana Menteri ke-10 Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah daripada Pengajian Melayu, bahagian sastera.

Bermakna seorang yang terdidik dalam lingkungan keilmuan bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu. Hal ini terjadi pada tahun 1967–1969 sewaktu pemimpin itu belajar di Universiti Malaya.

Sebelum itu, beliau mendapat pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar dari tahun 1960 hingga 1967.

Pada masa inilah yang membentuknya menjadi seorang pemimpin. Beliau waktu itu dilantik sebagai ketua pelajar, memimpin perjalanan kehidupan persekolahan.

Juga terkenal sebagai pemidato. Saya mengetahui pembelajarannya itu, kerana pada tarikh yang sama, saya sedang belajar di Sekolah Izzuddin Shah di Ipoh. Saya juga ketua pelajar dan pandai juga sedikit-sedikit berpidato. Pernah memasuki pertandingan pidato dan bahas mewakili sekolah di peringkat negeri Perak.

Kepemimpinan Anwar berkesinambungan apabila sejak 1968 hingga 1971 menjadi Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).

Artikel Berkaitan:

Dan beliau juga terlibat dalam kegiatan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia pada 1972 sebagai setiausaha dan tahun 1974 pula menjadi presidennya.

Semasa beliau memimpin PBMUM di Universiti Malaya itu, saya sedang belajar di Maktab Perguruan Bahasa Kuala Lumpur (MPBKL). Waktu itu perjuangan ke arah penubuhan sebuah universiti yang menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu sedang berkumandang.

Sejarah perjuangannya semakin kuat, yang dimulai pada masa pascamerdeka 1957 hingga 1967 gerakan penubuhan sebuah universiti kebangsaan menjadi semakin bersemarak sebagai memenuhi tuntutan dan pengisian kemerdekaan negara.

Namun, perjuangan itu bukanlah mudah, kerana situasi masyarakat Melayu masih kurang jelas, malah ada yang terdiri daripada pemimpinnya, yang masih dibuai oleh apa yang diistilahkan dalam teori sastera pascakolonialisme sebagai mimikri. Mereka terpesona dan ditidurkan oleh sistem pendidikan Barat.

Kepercayaan terhadap kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu masih dipertikaikan dan tiada keyakinan diri.

Anwar telah menggerakkan PBMUM ke arah merealisasikan kewujudan universiti kebangsaan itu. Saya masih ingat Anwar menubuhkan sebuah badan bertindak penubuhan universiti tersebut.

Pertemuan demi pertemuan diadakan antara PBMUM dengan menggabung bersama penuntut MPBKL, beliau sendiri sebagai ketuanya dengan dibantu oleh Siddiq Fadzil (Allahyarham Datuk Dr Profesor). Saya telah dilantik sebagai pegawai seranta, sesuai sifat saya sebagai seorang pengarang kecil waktu itu.

Seminar Pendidikan

Beberapa kali, kami mengadakan perbincangan, biasanya di dewan MPBKL, akhirnya bersetuju untuk mengadakan sebuah pertemuan dengan menganjurkan “Seminar Pendidikan Se-Malaysia”.

Ramai tokoh pendidik dan pemimpin dijemput membentangkan kertas kerja termasukkan pejuang bahasa seperti Zainal Abidin Abdul Wahid (Allahyarham, Datuk) dan pejuang sastera, Ismail Hussein (Allahyarham Tan Sri Profesor Emeritus).

Tugas saya ialah membuat penyiaran dan perhubungan ke seluruh negara supaya penyertaannya meluas, dan seminar itu menjadi sebuah perhimpunan terbesar untuk penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beberapa kali saya ke pejabat akhbar Utusan Melayu dan Berita Harian untuk memberikan liputannya. Hampir empat bulan kami bekerja daripada perancangannya hinggalah kepada penjelmaan hari seminar itu.

Kami telah bersetuju menjemput Tan Sri Khir Johari bagi merasmikan seminar yang waktu itu ialah Menteri Pelajaran Malaysia. Seminar itu berjalan sehari penuh.

“Kita minta Menteri Pelajaran itu isytiharkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia”. Begitulah kira-kira seru Anwar Ibrahim.

Jika menteri itu enggan berbuat demikian, kami telah bersiap sedia dengan pelbagai sepanduk supaya penubuhan universiti dinobatkan kehadirannya. Sepanduk itu disimpan, dan akan berkibaranlah jika menteri enggan mengisytiharkannya.

Setelah berucap panjang tentang pentingnya orang Melayu memartabatkan bahasa Melayu, akhirnya menteri mengisytiharkan “kerajaan akan menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia.”

Lalu disambut dengan sorakan dan tepukan yang bergemuruh, bergema hingga keluar dewan seminar tersebut. Saya telah menyiapkan laporan dan resolusi seminar, dua muka penuh tersiar di Utusan Malaysia.

Begitulah dengan rasminya kerajaan membuat keputusan yang menggembirakan seluruh masyarakat negara.

Sehubungan itu, pada 1968 cendekiawan Melayu telah membentuk sebuah jawatankuasa penaja yang berperanan merancang penubuhan sebuah universiti kebangsaan.

Pengambilan pelajar pertama

Pelbagai forum budaya dan politik diadakan bagi mendapat sokongan kerajaan dan rakyat untuk mewujudkan sebuah institusi pengajian tinggi yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dalam semua bidang pangajian dan keilmuan. UKM dengan rasminya mengambil pelajar pertamanya tahun 1970.

Tentu sahaja kejayaan ini sebenarnya adalah usaha gigih yang tidak mengenal penat dan lelah, siang dan malam yang dilakukan oleh seorang tokoh pelajar yang dihormati iaitu Anwar Ibrahim.

Kepimpinannya terlihat dalam mengetuai gerakan itu. Terserlah sikapnya sebagai pejuang, yang mahu menegakkan kewujudan UKM sebagai lambang keilmuan masyarakat dan negara.

Pada tahun 1974, saya memasuki Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu UKM yang diasaskan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

Anwar menjadi pelajar sarjana kepada tokoh ilmuwan terbilang itu, dan yang selama ini menjadi idola dan inspirasi perjuangannya.

Saya sempat beberapa kali bertemu bual dengan Anwar yang waktu itu juga sebagai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Catatan kecil sebagai memoir ini, seperti yang dianjurkan oleh teori sastera autobiografi adalah sebuah nostalgia terhadap perjuangan besar seorang tokoh yang lahir daripada Pengajian Melayu.

Pengalaman-pengalaman yang banyak dan rencam, yang manis dan rumit, saya percaya memoir kecil ini tidak bererti apa-apa kepada Perdana Menteri.

Mungkin pemimpin itu sendiri sudah lupa. Namun, perjuangan ini sungguh bermakna dan signifikan, yang terpahat dalam sejarah terhadap penubuhan sebuah universiti yang bernama UKM itu.

Saya yakin cintanya kepada bahasa, sastera dan budaya Melayu menjadi urat dan darah yang mengalir dalam tubuhnya, dan insy-ALLAH akan terserlah dalam tugasnya sebagai Perdana Menteri.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia