Lima ADUN BN Sabah kecam tindakan Bung Moktar

Bung Moktar - Foto Bernama
Bung Moktar - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sabah mengecam sekeras-kerasnya tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang cuba menjatuhkan kerajaan Sabah.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Sabtu, kesemua ADUN berkenaan melahirkan rasa terkilan dan kesal kerana Sabah sekali lagi diheret ke dalam krisis politik oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Kami dikejutkan oleh tindakan beberapa pihak tertentu khususnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah yang telah berusaha menjatuhkan kerajaan negeri Sabah. Sesungguhnya kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut.

"Kami dengan ini mengisytiharkan sokongan kami yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri yang sah di sisi perlembagaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kata kenyataan itu lagi, seperti juga aspirasi rakyat Sabah, kesemua ADUN berkenaan mahukan kestabilan politik di negeri ini dikekalkan dan menolak sebarang percubaan atau tindakan oleh mana-mana pihak yang ingin menimbulkan kekacauan dan keresahan rakyat.

"Bersama-sama rakyat Sabah, kami berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa ini bukan masanya untuk merebut kuasa politik. Sebaliknya, sudah tiba masanya untuk bersatu agar kerajaan negeri sekarang dan semua pihak dapat terus menumpukan masa, tenaga dan sumber untuk memulih dan memajukan ekonomi negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Bersama-sama kita berdoa semoga kemelut politik ini segera berakhir agar usaha untuk memakmurkan Sabah yang tercinta ini dapat diteruskan.

"Dengan itu, kami sekali lagi menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan dikeluarkan secara bersama oleh ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya; ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya; ADUN Sugut, Datuk James Ratib; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusuf Yacob dan ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari.

Sebelum itu, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah mendedahkan terdapat lima ADUN BN Sabah tidak bersetuju dengan tindakan parti itu yang menarik semula sokongan pada Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Ikuti perkembangan politik semasa negara di sini!