Ceroboh Menara Merdeka 118: Polis temui maklumat baharu

Tular pada Disember tahun lalu gambar pasangan warga Rusia memanjat Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Tular pada Disember tahun lalu gambar pasangan warga Rusia memanjat Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menemui maklumat baharu siasatan kes pencerobohan Menara Merdeka 118 di sini yang dipercayai dilakukan pasangan warga Rusia.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkenaan status keberadaan warga asing terbabit.

"Siasatan masih dijalankan dan maklum balas daripada pihak JIM juga telah diterima.

"Ada beberapa maklumat dan dapatan baharu dalam siasatan diperoleh untuk polis lengkapkan siasatan kes berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut bagi mengelakkan perkara itu mengganggu siasatan pegawai penyiasat.

Khamis lalu, Noor Dellhan memberitahu Sinar Harian pihaknya bekerjasama dengan JIM bagi mendapatkan maklumat mengenai keberadaan pasangan warga Rusia terbabit di negara ini.

Polis juga telah menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai pemilik akaun media sosial yang mengaitkan pasangan terbabit.

Selain itu, seramai sembilan individu termasuk pihak Menara Merdeka 118 juga telah direkod percakapan.

Artikel Berkaitan:

Polis sebelum itu menerima satu laporan dari pihak Menara Merdeka 118 yang dibuat di Balai Polis Tun H S Lee, pada 29 Disember.

Disember tahun lalu, tular gambar pasangan warga Rusia itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.