Dua beradik maut kereta terbabas masuk parit

Operasi menyelamat dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya di lokasi kejadian. - Foto Bomba Perak
Operasi menyelamat dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya di lokasi kejadian. - Foto Bomba Perak
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Dua beradik lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas hingga terjunam ke dalam parit di Jalan Jelapang-Chemor berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya dekat sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 5.15 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 29 dan 22 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah dan tersepit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, ketika kejadian dua beradik berkenaan dalam perjalanan dari rumah rakan di Kuala Kangsar ke kediaman mereka di Taman Desa Meru.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta jenis Honda Accord dipandu mangsa hilang kawalan hingga terbabas melanggar penghadang jalan dan terjunam ke dalam longkang.

"Keadaan kereta remuk keseluruhan menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit, namun berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.

"Mangsa yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Singapura dan adiknya yang masih menuntut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, saksi kejadian nampak dengan jelas kejadian berlaku dan mengesahkan tiada kenderaan lain atas jalan raya ketika itu.

"Siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, panggilan kecemasan kejadian itu diterima pada jam 5.19 pagi.

"Anggota mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan itu. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.44 pagi," katanya.