PRN: DAP syor BN, PH Terengganu runding formula baharu

Chai Hing
Chai Hing
A
A
A

KUALA TERENGGANU - DAP mengesyorkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Terengganu mengadakan rundingan bagi mencari formula baharu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusinya, Ng Chai Hing berkata, jajaran baharu itu dijangka mengadakan mesyuarat untuk berbincang mengenai agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh terdekat.

"Berhubung agihan kerusi bersama rakan baharu (BN), kita kena buat percaturan semula sebab mungkin BN ada kawasan-kawasan yang mereka menang dan rasa berpeluang lagi untuk menang jika bertanding di kerusi itu.

"Jika PH dan BN bekerjasama dalam PRN kali ini, mungkin kita ada ruang untuk mencipta kejutan di Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Menurut Chai Hing, walaupun mereka meletakkan sasaran untuk menembusi beberapa kerusi dalam PRN kali ini, ia bergantung kepada pilihan pengundi.

"BN pernah jadi kerajaan (di Terengganu) jadi PH berharap kita boleh 'pecahkan telur', kalau boleh menang satu DUN pun kira sudah hebat.

"Kalau PH bersendiri, peluang untuk menang tipis. Dengan adanya kerjasama BN, saya rasa mungkin suasana agak berbeza," ujarnya.

Menurut Chai Hing, DAP akan memberi fokus di DUN Bandar memandangkan kawasan itu mempunyai peratusan pengundi Cina tertinggi iaitu antara 23 hingga 24 peratus.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, mereka tetap akan menyokong calon lain termasuk calon daripada BN yang merupakan rakan baharu dalam jajaran itu.

"Untuk menang pilihan raya kita perlu bekerjasama, tidak boleh berpuak-puak.

"Saya rasa kali ini gabungan baharu PH dan BN ada ruang di Terengganu berdasarkan perkembangan senario politik yang berubah dari semasa ke semasa," ujar beliau.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pas memenangi majoriti dua pertiga kerusi DUN di Terengganu sekali gus berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri daripada BN.

Pas memenangi 22 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen manakala BN hanya memenangi 10 daripada 32 kerusi DUN dan dua daripada lapan kerusi Parlimen iaitu di Besut dan Hulu Terengganu.