Dua import Croatia teruja bersama TFC

TFC melengkapkan kuota pemain import dengan menandatangani dua pemain dari Croatia, Domigoj Pusic, 32, (kanan) dan Ivan Mamut, 26, bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2023. - Foto Bernama
TFC melengkapkan kuota pemain import dengan menandatangani dua pemain dari Croatia, Domigoj Pusic, 32, (kanan) dan Ivan Mamut, 26, bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2023. - Foto Bernama
A
A
A

DUA pemain import baharu Terengganu FC (TFC) dari Croatia, Domagoj Pusic dan Ivan Mamut mengakui teruja untuk memulakan musim 2023 bersama skuad Penyu.

Walaupun kedua-duanya beraksi untuk kali pertama di liga negara Asia, ia tidak menjadi halangan untuk Pusic dan Mamut menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu terutama keadaan cuaca panas dan makanan yang berbeza.

Menurut Pusic, beliau memasang misi besar untuk membawa TFC ke tahap lebih tinggi berbekalkan pengalaman dalam bidang bola sepak profesional selama berbelas tahun di Liga Eropah.

"Ketua jurulatih kami berasal dari tempat yang sama dengan saya dan memaklumkan tentang TFC dan Liga Malaysia. Katanya kelab ini mempunyai misi untuk bermain dalam Piala Asia (AFC) tahun ini. Saya sukakan hal itu dan mengambil keputusan untuk menyertai mereka.

"Di Eropah semua kelab bola sepak sangat profesional dan kami bekerja keras. Jadi saya tidak takut untuk datang ke sini. Saya akan bekerja keras bagi membantu pasukan,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Mamut yang menyarung jersi nombor tujuh berkata, beliau tidak merasakan tekanan walaupun sedar tumpuan penyokong akan terarah kepadanya sebagai pemain penyerang.

Malah, pemain berusia 26 tahun itu menganggap ia sebagai cabaran untuk beliau memperagakan aksi terbaik kepada penyokong skuad hitam putih apabila Liga-M bermula 24 Februari ini.

"Saya ternanti-nanti perlawanan pertama untuk melihat suasana di sini. Saya suka peminat kerana mereka memberi sokongan emosi dan tenaga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pusic dan Mamut adalah dua pemain import terakhir yang diambil TFC bagi mengharungi Liga-M dan saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) musim ini.

Pemain import TFC yang lain ialah Habib Haroon, Sony Norde, Sardor Kulmatov, Luke Woodland, Jordan Mintah dan Argzim Redzovic. -Bernama