Lima PATI ditahan ketika bersauh

Bot itu dikendalikan oleh seorang tekong dan dua kru warga Indonesia yang berumur antara 35 hingga 38 tahun tanpa dokumen perjalanan sah.

Bot yang digunakan tiga PATI untuk menyeludup masuk dua penumpang ke negara ini pada Selasa.
Bot yang digunakan tiga PATI untuk menyeludup masuk dua penumpang ke negara ini pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Hasrat dua pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja di negara ini tidak kesampaian apabila mereka ditahan pihak berkuasa dikedudukan 5.3 batu nautika barat daya Kuala Selangor pada Selasa.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, lelaki berusia 40 tahun dan seorang wanita 30 tahun itu ditahan pada jam 4.50 petang kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Menurutnya, dua penumpang terbabit ditemui semasa pasukannya melakukan pemeriksaan lanjut dalam bot berkenaan.

"Hasil soal siasat ke atas tekong bot kayu itu mendapati, mereka ingin menuju ke Pulau Angsa dari Tanjung Balai, Indonesia tetapi bersauh kerana mendakwa bot dinaiki mereka mengalami kerosakan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu Siva Kumar berkata, salah seorang PATI memberitahu, bayaran yang dikenakan bagi setiap perjalanan menyeludup masuk dengan cara itu ialah kira-kira RM 2,500 seorang.

Jelas beliau, turut ditahan seorang tekong dan dua kru warga Indonesia yang berumur antara 35 hingga 38 tahun selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, bot dan kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau indah untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan serta permit masuk yang sah kepada penguat kuasa," jelas beliau.

Artikel Berkaitan: