Lelaki warga China dipukul didakwa punca kemalangan maut

Seorang lelaki warga China dipukul beberapa individu selepas didakwa mengakibatkan kemalangan.
Seorang lelaki warga China dipukul beberapa individu selepas didakwa mengakibatkan kemalangan.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang jurutera warga China cedera dipukul selepas didakwa mengakibatkan seorang penghantar barang maut digilis sebuah lori dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 13 Jalan Klang-Banting-Port Dickson arah Klang menghala Banting di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, kemalangan kira-kira jam 4.30 petang itu melibatkan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux, kereta jenis Daihatsu Charade, motosikal jenis SYM 110 dan sebuah treler.

"Siasatan awal yang dijalankan, mendapati kemalangan ini berlaku dipercayai apabila Toyota Hilux dipandu seorang lelaki warga China berumur 53 tahun itu membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat di lokasi kejadian.

"Masa sama sebuah kereta jenis Daihatsu Charade dipandu seorang lelaki berada di belakang Toyota Hilux tersebut mengelak ke kiri jalan lalu melanggar motosikal yang ditunggang mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, mangsa kemudian tercampak ke bawah sebuah lori yang berada di lorong kiri jalan.

Mangsa maut digilis lori dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 13 Jalan Klang-Banting-Port Dickson arah dari Klang menghala Banting di sini pada Selasa.
Mangsa maut digilis lori dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 13 Jalan Klang-Banting-Port Dickson arah dari Klang menghala Banting di sini pada Selasa.

"Mangsa kemudian digilis lori yang dipandu seorang lelaki berumur 52 tahun.

"Mangsa berumur 33 tahun bekerja sebagai penghantar barangan sebuah klinik swasta itu mengalami kecederaan parah di bahagian kemaluan dan kaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Banting untuk dibedah siasat.

"Lelaki warga China terbabit mengalami kecederaan ringan akibat dipukul oleh orang awam yang tidak berpuas hati terhadapnya akibat kemalangan tersebut.

"Setakat ini, tiada laporan polis yang dibuat oleh lelaki warga China tersebut berkaitan kejadian," katanya.

Ujar Ahmad Ridhwan, tindakan saman dikeluarkan ke atas pemandu motor mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang tiada lesen memandu yang sah dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah laporan pakar diperoleh untuk mendapatkan arahan pertuduhan.

"Saksi yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian kemalangan ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621 atau 03-31872222," katanya.