TFC sambar pertahanan dari Uzbekistan

Sardor Kulmatov
Sardor Kulmatov
A
A
A

PEMAIN pertahanan import dari Uzbekistan, Sardor Kulmatov menjadi sandaran terbaru Terengganu FC (TFC) untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) dan Piala AFC 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif, Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Ab Rasid Jusoh berkata, pemain berusia 28 tahun itu menjadi pilihan pengendali, Tomislav Steinbruckner untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain kelahiran Senegal, Pape Diakite, yang tidak disambung kontrak.

Katanya, pengalaman luas yang dimiliki oleh pemain berketinggian 1.85 meter itu mampu memperkuat benteng pertahanan TFC yang akan berdepan lebih banyak jumlah perlawanan di Liga-M dan juga saingan AFC.

Kulmatov sebelum ini beraksi bersama Sogdiana FC di liga Uzbekistan. Ini adalah kali pertama beliau beraksi luar dari negaranya dengan menyertai TFC di Liga-M.

“Bagaimanapun, beliau mempunyai pengalaman yang baik di pentas Asia dengan membantu pasukan mara ke peringkat separuh akhir musim lepas,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Ab Rasid berkata, Kulmatov sudah berada di Terengganu akan memulakan latihan bersama rakan sepasukan di bawah bimbingan penolong ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali, yang sebelum ini mengemudi TFC II.

Menurutnya, pemain tersebut amat teruja untuk memulakan musim baharu bersama TFC yang disifatkan sebagai antara pasukan terbaik di Malaysia dan memiliki jumlah penyokong yang ramai.

“Tomi (Tomislav Steinbruckner) akan tiba di Terengganu, Rabu ini. Untuk sementara waktu, latihan akan dikendalikan oleh penolong beliau, Badrul Afzan yang baru sahaja dinaikkan pangkat daripada pasukan 'adik' ke pasukan 'abang' bagi musim 2023,” katanya.

Artikel Berkaitan: