'Ahmad Zahid ada hak lantik Pengerusi UMNO negeri'

Ahmad Maslan. - Foto Bernama.
Ahmad Maslan. - Foto Bernama.
A
A
A

PONTIAN - Pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi UMNO negeri merupakan hak Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebarang perubahan di peringkat negeri sebagaimana gesaan di buat akar umbi, perkara tersebut perlu diserahkan kepada kebijaksanaan Presiden UMNO.

"Itu hanya cadangan, tetapi hak memilih Pengerusi dan Timbalan Pengerusi UMNO negeri adalah kuasa Presiden UMNO.

"Justeru itu, kita serahkan kepada kebijaksanaan Presiden untuk membuat apa juga keputusan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kejohonan bola jaring di Dewan Muafakat Taman Saujana, di sini pada Sabtu.

Ahmad juga Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Pontian berkata, bagi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi UMNO negeri yang sudah berundur, jawatan mereka sudah diganti oleh individu lain oleh Presiden UMNO.

"Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang letak jawatan sebelum ini sudah diganti dengan Datuk Megat Zulkarnain Omardin. Begitu juga dengan jawatan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah yang dikosongkan Datuk Othman Aziz, kini diisi Datuk Suraya Yaacob.

"Selain mereka, tiada Pengerusi dan Timbalan Pengerusi UMNO negeri setakat ini yang meletakkan jawatan.

"Tidak menjadi isu pun, kerana ia hak Presiden UMNO, selagi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi UMNO mana-mana negeri mahu terus menjawat jawatan itu dan Presiden kekalkan mereka, mereka akan kekal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata UMNO di peringkat negeri perlu memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk memulihkan kepercayaan terhadap parti itu sebagai satu langkah mengekalkan kelangsungannya pada pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana banyak kawasan luar bandar yang UMNO tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu sedangkan ia tidak seharusnya berlaku kepada kawasan luar bandar merupakan kubu kuat parti itu.