Lelaki rogol rakan sekerja ditahan

Suspek (dua dari kiri) ditahan dalam satu serbuan di rumahnya di kawasan ladang di Tawau.
Suspek (dua dari kiri) ditahan dalam satu serbuan di rumahnya di kawasan ladang di Tawau.
A
A
A

TAWAU - Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki merogol rakan sekerjanya dalam kejadian di Batu 35 Jalan Tawau - Semporna, di sini, pada Selasa lalu.

Suspek berusia 30-an itu ditahan pada jam 7.18 malam Rabu, selepas satu laporan polis dibuat oleh mangsa yang berusia 29 tahun.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat selepas sepasukan anggotanya dari Balai Polis Bandar Sri Indah menyerbu rumah suspek di kawasan rumah pekerja ladang di sini.

"Suspek ialah rakan sekerja mangsa dan mereka tinggal di kawasan kejiranan yang sama. Ketika kejadian, suspek berjumpa dengan mangsa di luar rumah dan telah mengugut menggunakan senjata tajam agar mengikutnya.

"Mangsa yang ketakutan mengikut suspek dan tiba di suatu kawasan, suspek bertindak merogol mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Jasmin berkata, susulan daripada itu, mangsa membuat laporan polis dan hasil serbuan berjaya menahan suspek sehari selepas kejadian rogol berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan," katanya.

Artikel Berkaitan: