Dua nelayan warga asing dicekup

Maritim Malaysia menahan sebuah bot yang menggajikan warga asing di kedudukan 3.2 batu nautika Barat Daya Sungai Besar pada Jumaat.
Maritim Malaysia menahan sebuah bot yang menggajikan warga asing di kedudukan 3.2 batu nautika Barat Daya Sungai Besar pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan dua nelayan warga asing kerana gagal mengemukakan pengenalan diri sah semasa sedang menangkap ikan di kedudukan 3.2 batu nautika Barat Daya Sungai Besar pada Jumaat.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, dua lelaki berusia 32 dan 57 tahun itu ditahan dalam operasi Op Ehsan dan Op Benteng.

Menurutnya, dua warga asing itu dipercayai bekerja sebagai nelayan sejak tiga bulan lalu dan menerima upah sebanyak RM2,500 setiap seorang.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan dua warga tempatan dan dua warga asing," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ujar Siva Kumar, bot bersama kru kemudian dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.

Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan di laut boleh dilaporkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

Artikel Berkaitan: