'Siti Rohajar bukan beban'

Zulkefli membetulkan tudung Siti Rohajar yang buta kedua-dua belah mata akibat komplikasi jantung dan buah pinggang.
Zulkefli membetulkan tudung Siti Rohajar yang buta kedua-dua belah mata akibat komplikasi jantung dan buah pinggang.
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang gadis orang kurang upaya (OKU) buta dan pekak berusia 22 tahun terpaksa bergantung kepada bapanya apabila tidak mampu berdikari sepenuhnya sejak enam tahun lalu.

Zulkefli Mat Husain, 54, berkata, anak tunggalnya, Siti Rohajar Abdullah disahkan mengalami kecacatan itu akibat komplikasi pelbagai jenis penyakit termasuk jantung dan buah pinggang.

Menurut Zulkefli, selepas isterinya, Che Rosmawati Che Man meninggal dunia pada 2005 kerana penyakit tibi, dia mengambil tugas menjaga Siti Rohajar sepenuhnya.

"Anak saya terpaksa berhenti sekolah ketika Darjah Enam kerana penyakit lelah yang juga membawa kepada perubahan penglihatan matanya," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Gatal, Kuala Krai.

Zulkefli (dua dari kanan) menerima lawatan daripada Che Norhayati dan Ismail di rumahnya di Kampung Gatal.
Zulkefli (dua dari kanan) menerima lawatan daripada Che Norhayati dan Ismail di rumahnya di Kampung Gatal.

Dua beranak itu kini bergantung kepada ihsan penduduk kampung kerana Zulkefli hanya bekerja kampung sejak keadaan Siti Rohajar semakin serius sehingga mengakibatkan buta pada usia 14 tahun.

Kata Zulkefli, selepas beberapa tahun mereka terpaksa berulang-alik ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan.

"Kini saya perlu membawa Siti Rohajar ke hospital setiap enam bulan sekali dan alhamdulillah komplikasi penyakitnya semakin berkurangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Setiap hari sebelum keluar mencari rezeki, Zulkefli akan menguruskan semua keperluan Siti Rohajar tetapi akan segera pulang kerana bimbang keselamatannya yang bersendirian.

Bagaimanapun katanya, Siti Rohajar bukan beban malah memberi kekuatan untuk dia meneruskan kehidupan dan mencari rezeki.

Dua beranak itu sebelum ini menerima lawatan badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed dan Ismail Mohamad dari Kelantan Care.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang melalui akaun AgroBank di nombor 2006701000320961 atas nama Zulkefli Mat Husain atau menghubungi Ismail Mohamad di talian 0169255445