BSN tawar bantuan pelanggan terjejas banjir

Pelanggan BSN yang terjejas banjir boleh menghubungi pihak bank bagi membincangkan mengenai bantuan yang bersesuaian. - Foto Bernama
Pelanggan BSN yang terjejas banjir boleh menghubungi pihak bank bagi membincangkan mengenai bantuan yang bersesuaian. - Foto Bernama
A
A
A

BANK Simpanan Nasional (BSN) menawarkan beberapa bentuk bantuan bertujuan meringankan beban pelanggan bank itu terutamanya yang terjejas dengan bencana banjir besar yang melanda negara baru-baru ini.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, pelanggan yang terjejas pendapatan boleh menghubungi bank berkenaan bagi membincangkan mengenai bantuan pembayaran balik pembiayaan yang bersesuaian.

“BSN menzahirkan rasa prihatin dan simpati terhadap mangsa bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

“Oleh itu, pelanggan yang terjejas pendapatan boleh menghubungi BSN untuk berbincang tentang bantuan pembayaran balik pembiayaan bersesuaian dengan menghantarkan e-mel ke bantuanbanjir@bsn.com.my,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jay Khairil
Jay Khairil

Selain itu menurut beliau, pemilik perniagaan mikro yang terkesan dan memerlukan pembiayaan untuk membangunkan semula perniagaan boleh memohon Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga.

Jelasnya, skim itu menawarkan jumlah pembiayaan sehingga RM50,000 untuk tempoh sehingga lima tahun setengah termasuk moratorium (rehat bayaran) bagi enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan.

“Melalui skim ini, perusahaan mikro dalam semua jenis sektor perniagaan yang telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan boleh memohon pembiayaan sama ada bagi tujuan modal kerja atau pembelian aset untuk kegunaan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

“Usahawan mikro juga boleh memohon bantuan sehingga RM75,000 melalui Dana Bantuan Bencana (DRF).

“Caj bagi penggantian kad kredit dan kad debit BSN yang rosak atau hilang ekoran bencana banjir juga akan dikecualikan,” ujarnya.

Tambah Jay, BSN melalui jenama tanggungjawab sosial korporat (CSR) miliknya, BSN Care turut menghulurkan sumbangan berupa kotak keperluan asas dengan jumlah keseluruhan bernilai RM90,000 kepada mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

Katanya, kotak keperluan asas tersebut telah diserahkan kepada mangsa banjir melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri masing-masing.

“Ia mengandungi barangan makanan, minuman dan keperluan harian lain bernilai RM100 setiap satu.

“Diharapkan melalui pelbagai bentuk bantuan yang disediakan oleh pihak BSN dapat sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir terutamanya bagi meneruskan kehidupan pasca banjir,” ujar beliau.