Asingkan gajah berbahaya hanya langkah sementara

Augustine
Augustine
A
A
A

KOTA KINABALU - Gajah berbahaya yang menyebabkan seorang renjer maut di Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Putatan di sini telah ditempatkan di kawasan pengasingan.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, pihaknya berharap langkah tersebut adalah sementara kerana kebebasan haiwan berkenaan dinafikan dan biasanya ia dirantai.

"Kita akan ikthiarkan untuk haiwan ini mempunyai kebebasan untuk bergerak dengan menempatkannya di fasiliti yang ada kemudahan sedemekian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan isu gajah yang menyebabkan seorang renjer di taman hidupan liar berkenaan maut pada Ahad lalu.

Katanya lagi, ketika ini Sabah tiada mempunyai kemudahan bagi membolehkan gajah dapat bergerak bebas.

"Sabah tiada kemudahan sedemikian kecuali kerajaan dapat beri peruntukan mencukupi untuk sediakan.

"Langkah lain adalah dengan menghantar gajah ke luar negara yang mempunyai kemudahan mencukupi yang membolehkan haiwan ini bebas bergerak tanpa dikurung di tempat sempit atau dirantai.

"Kebajikan gajah adalah aspek paling penting bagi pengurusan gajah dalam kurungan. Terlalu banyak gajah dalam kurungan di Sabah sekarang manakala fasiliti sedia ada tidak dapat menampung kebebasan ia bergerak dalam kawasan yang mencukupi keluasannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Augustine lagi, bilangan kakitangan yang menjaga gajah berkenaan juga adalah sangat jauh kurang daripada bilangan yang sepatutnya.

"Kebanyakan pekerja adalah ditaja atau dibayar gaji mereka oleh badan bukan kerajaan (NGO)," jelasnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, renjer hidupan liar, Joe Fred Lansou, 49, maut akibat ditusuk gading gajah ketika melakukan rutin di kandang gajah di taman berkenaan.

Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian perut akibat tusukan gading gajah berkenaan.