Marhan ketuai skuad hoki ke Piala Dunia di India

Mirnawan (kanan) dan Arul menunjukkan senarai 20 pemain yang akan menggalas cabaran negara pada Piala Dunia 2023 di India. - Foto FB MHC
Mirnawan (kanan) dan Arul menunjukkan senarai 20 pemain yang akan menggalas cabaran negara pada Piala Dunia 2023 di India. - Foto FB MHC
A
A
A

PASUKAN hoki Malaysia bakal diperkuatkan dengan penampilan semula kapten, Marhan Mohd Jalil bagi menggalas cabaran Speedy Tigers pada kejohanan Hoki Piala Dunia 2023 di India bulan depan.

Skuad Speedy Tigers akan turut dipacu oleh penyerang berpengalaman, Muhammad Shahril Saabah bersama 18 lagi pemain terbaik negara ketika ini.

Pengumuman barisan pemain dilakukan oleh pengurus skuad senior lelaki merangkap Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan pasukan kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi dalam satu sidang media di Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada Khamis, yang turut dihadiri ketua jurulatih, Arul Selvaraj.

Selain Marhan dan Shahril, dua pemain muda, Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim dan Shahmie Irfan Suhaimi turut tersenarai sebagai pemain simpanan.

Mereka akan sentiasa bersiap sedia bagi menggantikan mana-mana pemain yang berada di dalam senarai 18 utama sekiranya diperlukan.

Tugas di gawang pula akan digalas Muhammad Hafizuddin Othman dan Adrian Andy Albert.

Benteng pertahanan dikemudi Marhan, Muhammad Razie Abd Rahim, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Zulpidaus Mizun, Muhammad Aminuddin Mohd Zain dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar.

Memacu di bahagian tengah ialah Meor Muhammad Azuan Hassan, Faiz Helmi Jali, Muhammad Firhan Ashaari, Mohamad Ashran Hamsani dan Muhammad Najib Abu Hassan.

Artikel Berkaitan:

Turut tersenarai ialah penyerang Faizal Saari, Norsyafiq Sumantri, Muhamad Ramadan Rosli dan Shello Silverius.

Arul berkata, selepas mengambil kira posisi dan maklumat kecederaan pemain, ini merupakan barisan 20 pemain terbaik beliau miliki selain mereka dilihat turut bersedia secara fizikal serta mental bagi menggalas tugas yang cukup penting itu.

“Kembalinya Marhan dan Shahril pastinya akan membantu pasukan. Menerusi jadual perlawanan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), kami akan bermain satu perlawanan dan berehat dua hari sebelum turun aksi seterusnya.

“Jadi pemain boleh beraksi pada tahap maksimum dan menggunakan tempoh rehat untuk proses pemulihan selain bersedia bagi perlawanan seterusnya. Kami juga perlu lebih bijak dalam merangka strategi bagaimana untuk beraksi dalam satu perlawanan dan perlawanan lain.

“Sebagai pemanas badan, kami akan bermain satu perlawanan persahabatan menentang Sepanyol pada 11 Januari, namun belum diputuskan untuk bermain secara perlawanan penuh (60 minit) atau bermain tiga suku sahaja (45 minit) dan ia akan diputuskan apabila kami tiba di India nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Arul turut mengulas mengenai keputusan beliau menyenaraikan pemain muda berusia 20 tahun, Irfan dalam senarai dua pemain simpanan (pemain ke-19 dan ke-20).

“Saya mula memerhatikan Irfan ketika dia beraksi di Kejohanan Piala Sultan Johor 2022.

"Menerusi maklum balas daripada ketua jurulatih skuad remaja negara, Amin Rahim serta potensi pada pemain ini, saya telah memanggil dia untuk menyertai sesi latihan bersama skuad senior.

“Semasa latihan selama dua minggu, saya dapat melihat potensi yang cukup baik daripada pemain ini selain dia turut menunjukkan kesungguhan dalam sesi latihan,” ujar Arul.

Skuad negara akan berlepas ke Bhubaneswar, India dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5 pagi, 6 Januari 2023.