Penduduk resah diancam monyet liar

Kehadiran monyet liar mengganggu penduduk di Taman Labu Jaya.
Kehadiran monyet liar mengganggu penduduk di Taman Labu Jaya.
A
A
A

SEREMBAN - Penduduk Taman Labu Jaya di sini resah diancam kehadiran monyet liar di kawasan perumahan itu yang kini semakin menjadi-jadi.

Malah kehadiran haiwan terbabit yang biasanya datang dalam kumpulan ramai turut bertindak agresif dengan merosakkan barangan di rumah penduduk.

Penduduk, S. Hariharan, 64, berkata, kehadiran haiwan tersebut semakin menjadi-jadi sejak tiga tahun lalu dan ia disebabkan tindakan individu tertentu yang selalu memberi makanan kepada haiwan berkenaan.

"Bila saya tegur supaya jangan beri makan, saya pula dimarahi. Saya bukannya tidak perikemanusiaan, tapi bila selalu diberi makan, haiwan itu akan selalu datang ke sini.

"Sudahnya, penduduk yang jadi mangsa apabila monyet ini membuat kacau ganggu dan masuk ke dalam rumah penduduk," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, kabel Wi-Fi rumahnya juga sudah dua kali diputuskan oleh haiwan liar berkenaan.

Madam Chu,88, pula berkata, bukan saja pintu, tapi tingkap rumahnya juga perlu sentiasa ditutup rapat bagi mengelakkan haiwan itu menyelinap masuk secara tiba-tiba.

Katanya, paling membimbangkan apabila haiwan itu mengganas dan merosakkan perkakasan rumah penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Saya boleh katakan tiap-tiap hari monyet ini akan datang mengganggu yang membuatkan saya risau akan keselamatan diri dan keluarga terutama cucu berusia tiga bulan.

"Kami tak tahu lagi mahu buat apa. Harapnya ada penyelesaian," katanya.

Begitu juga Teng Soon Eng, 80, yang terganggu dengan kehadiran haiwan itu yang merosakkan bumbung rumahnya.

"Dia akan datang dalam kumpulan yang ramai dan melompat di atas bumbung rumah selain akan mengotorkan kawasan," katanya.

Nicole (kiri) memasang kain rentang peringatan supaya tidak memberi makanan kepada haiwan liar.
Nicole (kiri) memasang kain rentang peringatan supaya tidak memberi makanan kepada haiwan liar.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berkata, beliau percaya punca utama kehadiran monyet di situ disebabkan sikap individu yang selalu memberi makanan.

Sehubungan itu beliau telah menghantar surat kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) supaya mempertimbangkan cadangan menggubal undang-undang kecil melarang orang ramai memberi makanan kepada haiwan liar.

"Bagi saya isu ini tidak akan selesai jika ada yang berterusan memberi makanan kepada haiwan liar ini termasuklah anjing liar

"Saya memahami ada yang mahu bersikap baik kepada haiwan, tapi yang menjadi mangsa adalah penduduk dan bagi saya perlu adanya satu undang-undang yang melarang orang ramai memberi makanan kepada haiwan liar sesuka hati," katanya.