Lebuh raya sesak 7km, laluan dipenuhi buah

Muatan buah-buahan bertaburan di laluan lebuh raya dekat Tapah dalam nahas membabitkan sebuah lori dan bas ekspres pada pagi Khamis. Gambar kecil: Wan Azharuddin
Muatan buah-buahan bertaburan di laluan lebuh raya dekat Tapah dalam nahas membabitkan sebuah lori dan bas ekspres pada pagi Khamis. Gambar kecil: Wan Azharuddin
A
A
A

TAPAH - Laluan dari Gopeng ke Tapah di Kilometer 317.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini sesak hampir 7 kilometer gara-gara lori membawa muatan buah-buahan terbalik pada Khamis.

Kejadian sekitar jam 2.45 pagi itu dipercayai berlaku apabila lori dalam perjalanan dari Bukit Kayu Hitam menghala ke Selayang berkenaan dirempuh dari arah belakang oleh sebuah bas ekspres membawa 16 penumpang.

Pelanggaran mengakibatkan lori berkenaan terbalik dan muatan buah-buahan dibawa bertaburan memenuhi laluan lebuh raya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian turut mengakibatkan pemandu bas berusia 42 tahun dan seorang penumpang berusia 28 tahun cedera di perut dan dagu.

"Pemandu bas dan penumpang wanita yang cedera telah dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan, manakala pemandu lori berusia 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Keadaan lori yang terbalik menghalang laluan kiri lebuh raya dekat Tapah pada pagi Khamis.
Keadaan lori yang terbalik menghalang laluan kiri lebuh raya dekat Tapah pada pagi Khamis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bas dari Baling, Kedah menuju ke Kuala Lumpur itu melanggar bahagian belakang lori terbabit.

Katanya, lori itu kemudiannya hilang kawalan dan terbalik di lorong kiri.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut dibuat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor P Prathiparaj di talian 014-6178095," katanya.

Twitter @Plustrafik dalam ciapannya pada jam 6.26 pagi memberitahu, lorong kiri laluan terbabit telahpun dibuka dan aliran trafik adalah perlahan.