Warga emas rentung, kebakaran rumah di Lingga
KUCHING - Seorang wanita warga emas rentung dalam kebakaran di Rumah Panjang Sambau Ak. Sandai di Lingga, Sri Aman kira-kira 10.30 pagi tadi.
Dalam kejadian itu, rumah panjang 28 pintu itu musnah sama sekali.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata pasukan bomba berjaya menjumpai mangsa yang telah rentung dikenali sebagai Yon Manjat, berusia dalam lingkungan 60-an di bilik nombor tujuh rumah panjang berkenaan.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurut Khirudin kenderaan bomba tidak dapat akses ke lokasi akibat kenderaan orang awam menghalang akses bomba.
Katanya, anggota bomba terpaksa berjalan dengan membawa pam boleh alih dan hos ke lokasi kebakaran.
Turut bergegas ke tempat kejadian ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Lingga Simoi Peri.- Bernama