Jumlah mangsa banjir di Perak berkurangan, empat negeri kekal

Zauyah Deraman, 36, membersihkan rumahnya yang ditenggelami banjir baru-baru ini di Kampung Ana, Tumpat. - Foto Bernama
Zauyah Deraman, 36, membersihkan rumahnya yang ditenggelami banjir baru-baru ini di Kampung Ana, Tumpat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Perak menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa pagi Rabu merekodkan penurunan manakala jumlah mangsa di Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Sabah pula kekal.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir kini berkurangan kepada 35 orang daripada enam keluarga berbanding 42 orang membabitkan lapan keluarga malam Selasa.

Di KELANTAN, menurut laman web infobencanajkmv2.jkm.gov.my jumlah mangsa di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas kekal dengan 31 orang daripada 12 keluarga pada pagi Rabu.

Di TERENGGANU pula, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa di Besut kekal 53 orang daripada 12 keluarga yang berlindung di PPS Masjid Kampung La dan semua mangsa dijangka berada di PPS itu bagi tempoh lama kerana kebanyakan rumah mereka dihanyutkan banjir.

Di SARAWAK, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal tujuh orang yang masih berlindung di PPS Dewan Masyarakat Kampung Lutong, Sebuyau, pagi Rabu.

Di SABAH, jumlah mangsa yang dipindahkan di Kota Belud kekal 135 orang daripada 56 keluarga dengan 62 individu daripada 26 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan dan 73 orang daripada 30 keluarga berlindung di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.

Jumlah penduduk yang dipindahkan akibat fenomena air pasang besar juga kekal 1,454 orang daripada 298 keluarga setakat pagi Rabu.

Mereka ditempatkan di sebuah PPS di Sandakan (688 orang daripada 121 keluarga) dan enam PPS di Pitas (766 orang daripada 177 keluarga). - Bernama

Artikel Berkaitan: