Ciri keselamatan gagal berfungsi punca nahas pesawat Ethiopia

Nahas pesawat Ethiopian Airlines Boeing 737-8 Max yang mengorbankan 157 orang pada 2019. Foto AFP
Nahas pesawat Ethiopian Airlines Boeing 737-8 Max yang mengorbankan 157 orang pada 2019. Foto AFP
A
A
A

ADDIS ABABA - Nahas pesawat Ethiopian Airlines Boeing 737-8 Max yang mengorbankan 157 orang pada 2019 berpunca daripada kegagalan ciri keselamatan pesawat, menurut pihak berkuasa Ethiopia dalam laporan akhirnya pada Jumaat.

Pada 10 Mac 2019, pesawat ET 302 dalam perjalanan dari Addis Ababa ke Nairobi terhempas beberapa minit sejurus berlepas dan mengorbankan semua penumpang dan anak kapal, lapor Xinhua.

Laporan akhir berhubung kemalangan itu menyimpulkan nahas berkenaan disebabkan oleh kegagalan ciri keselamatan, kata Menteri Pengangkutan dan Logistik Ethiopia, Dagmawit Moges.

"Sensor Left Angle of Attack (AOA) kapal terbang gagal berfungsi selepas berlepas dan mengakibatkan data yang rosak dihantar kepada sistem kawalan penerbangan.

Data yang salah itu seterusnya mencetuskan Manuvering Characteristics Augmentation System (MCAS) hingga menyebabkan juruterbang hilang kawalan," Moges dipetik oleh Agensi Berita Ethiopia (ENA) sebagai berkata.

MCAS ialah ciri keselamatan automatik yang direka bagi pesawat 737 Max 8.

Moges berkata, laporan akhir itu dikeluarkan berdasarkan laporan awal dan interim sebelum ini.

Insiden itu mendorong syarikat penerbangan Ethiopia termasuk banyak syarikat penerbangan lain di seluruh dunia menggantung operasi pesawat Boeing 737 MAX.

Artikel Berkaitan:

Pada Februari, syarikat penerbangan Ethiopia mengembalikan operasi pesawat Boeing 737 MAXnya sejak insiden tragis itu. - Bernama