Rabuka dilantik Perdana Menteri baharu Fiji

Rabuka - Foto AFP
Rabuka - Foto AFP
A
A
A

SUVA - Ketua parti Perikatan Rakyat (PA), Sitiveni Rabuka dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Fiji untuk tempoh empat tahun akan datang selepas sidang Parlimen pertama berlangsung pada Sabtu.

Perbadanan Penyiaran Fiji memaklumkan bahawa Rabuka yang berusia 74 tahun itu memperoleh 28 undi, manakala pemimpin parti FijiFirst (FFP) Voreqe Bainimarama memperoleh 27 undi.

Sementara itu, Tui Cakau Ratu Naiqama Lalabalavu dilantik sebagai Speaker Parlimen yang baharu, lapor Xinhua.

Pada pilihan raya umum yang diadakan Rabu lalu, FFP memperoleh 26 kerusi, manakala PA memenangi 21 kerusi, Parti Persekutuan Kebangsaan (NFP) memperoleh lima kerusi dan Parti Sosial Demokratik Liberal (SODELPA) hanya tiga kerusi.

Di bawah sistem pilihan raya Fiji, sesebuah parti politik boleh membentuk kerajaan jika memenangi 28 kerusi atau lebih.

FFP telah berkuasa sejak 2014, tetapi kali ini parti itu gagal memperoleh majoriti di Parlimen.

PA dan NFP telah pun membentuk gabungan sebelum pilihan raya.

Sementara itu, SODELPA pada Jumaat memutuskan untuk bekerjasama dengan gabungan PA dan NFP bagi membentuk kerajaan campuran, yang kini mempunyai 29 kerusi di parlimen.

Artikel Berkaitan:

Rabuka pernah menjadi Perdana Menteri Fiji dari 1992-1999. - Bernama