Norazman dilantik CEO CAAM baharu

Norazman Mahmud
Norazman Mahmud
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melantik Norazman Mahmud sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari hadapan.

Menurut pengerusinya, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abdul Rahman, pelantikan tersebut dibuat selepas satu penilaian menyeluruh dilakukan.

“Berikutan penilaian menyeluruh yang dilaksanakan oleh CAAM, cadangan telah dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkenaan calon paling layak untuk menerajui jawatan Ketua Pegawai Eksekutif.

“Di bawah Seksyen 21 Akta 788, Menteri Pengangkutan melantik Norazman sebagai ketua pegawai eksekutif baharu berikutan peletakan jawatan Datuk Chester Voo,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, CAAM mengumumkan perkhidmatan Chester bakal berakhir pada 31 Disember ini.

Sementara itu, Mohd Khairul menambah, pelantikan Norazman itu adalah selaras dengan pengalamannya yang luas selama lebih 30 tahun dalam industri penerbangan.

“Beliau pernah berkhidmat di syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Berhad (MAB) sebelum menyertai CAAM pada 2020 sebagai pengarah bahagian operasi penerbangan.

“Kecemerlangan kerjaya beliau termasuklah menjadi juruterbang pelbagai jenis pesawat Boeing dan Airbus, malah beliau merupakan juruterbang pertama di Malaysia yang diiktiraf bagi pesawat Airbus A350.

Artikel Berkaitan:

“Beliau ketika ini merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kawal Selia) CAAM dan berperanan penting membantu proses transformasi menyeluruh CAAM dalam tempoh dua tahun lalu,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Mohd Khairul memaklumkan, pelantikan Azman turut mendapat respons baik daripada Anthony.

Ujarnya, perkara tersebut dalam masa yang sama adalah selaras dengan inisiatif CAAM meneruskan momentum positif bagi tahun 2023.

“Menteri Pengangkutan (Anthony) meluahkan keyakinannya dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh anggota pihak berkuasa.

“CAAM akan terus memperkasakan budaya kerja yang cekap dalam bidang kawal selia dan perkhidmatan navigasi udara baik dari sudut dalaman mahupun luaran tanpa sebarang kompromi terhadap aspek keselamatan dan sekuriti,” jelas beliau.