Dua rumah roboh, jambatan terjejas akibat dipukul ombak

Rumah yang roboh akibat dipukul ombak dan angin kencang di Kampung Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
Rumah yang roboh akibat dipukul ombak dan angin kencang di Kampung Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua rumah atas air roboh manakala empat jambatan terjejas akibat dipukul ombak dan ribut dalam kejadian di perkampungan atas air Kampung Tanjung Aru, di sini, pada malam Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, dua penghuni sempat keluar menyelamatkan diri dari rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.35 malam.

Katanya, seramai empat anggotanya dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh empat kilometer dari BBP Kota Kinabalu.

"Pasukan bomba bergerak ke lokasi kejadian dan memang terdapat dua rumah roboh serta empat jambatan terjejas akibat dipukul ombak dan angin kencang.

"Dua mangsa iaitu penghuni telah keluar dengan sendirinya dari rumah dan dalam keadaan selamat namun maklumat mereka tidak diperoleh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Pasukan bomba membuat pemantauan di kawasan rumah yang roboh.
Pasukan bomba membuat pemantauan di kawasan rumah yang roboh.

Ordine berkata, pasukan bomba bertindak membuat pemantauan di sekitar kawasan berkenaan dan seterusnya memberi nasihat kepada penduduk untuk berpindah ke kawasan yang selamat.

"Hasil pemantauan dijalankan mendapati 11 rumah telah dinaiki air dan keluarga yang terjejas dipindahkan ke Dewan Kampung Tanjung Aru dan keadaan air ketika itu masih lagi berombak dan pasang," katanya.

Katanya lagi, operasi ditamatkan pada jam 8.15 malam namun pemantauan dijalankan dari masa ke masa.