Pengikut Millah Abraham sesat - Mufti Selangor

Anhar
Anhar
A
A
A

SHAH ALAM - "Pengikut ajaran Millah Abraham adalah sesat kerana mengikut ajaran yang palsu," kata Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.

Beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 17 September 2015 telah memutuskan Millah Abraham adalah ajaran yang menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurutnya, Millah Abraham dipelopori oleh Ahmad Musadeq dari Bogor, Indonesia yang tiba ke Malaysia sekitar 2013 dan nama Millah Abraham diambil menerusi al-Quran surah al-An'am ayat 161 dan bersandarkan surah an-Nahl ayat 123 yang terjemahannya diambil secara literal sedangkan tafsiran bukan seperti yang dinyatakan.

"Ajaran ini mendakwa ia adalah kerajaan baharu, mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad SAW, mereka mensyirikkan, mereka yang tidak mengikut ajaran Millah Abraham dan mereka tidak melaksanakan solat lima waktu serta solat Jumaat.

"Mereka juga memahami al-Quran dengan tafsiran mereka sendiri dan mereka taksub dengan ajaran mereka hingga sanggup memutuskan hubungan persaudaraan termasuk hubungan suami isteri.

"Oleh itu jauhi diri daripada ajaran yang menyeleweng dengan ajaran Islam ini supaya akidah kita selamat dah sahih," katanya menerusi keterangan video dikongsikan di Facebook Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada Khamis.

Sebelum ini, seorang pelakon membuat pengakuan berani apabila mendedahkan dia merupakan salah seorang pengikut ajaran Millah Abraham.

Malah, pelakon lelaki tersebut meminta orang ramai melaporkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).