Air pasang besar diramal bermula esok di Kelantan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA BHARU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mengeluarkan amaran fenomena air pasang besar diramalkan berlaku pada 22 hingga 26 Disember ini.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, mengikut ramalan cuaca signifikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) amaran angin kencang pada kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dijangka membawa ombak yang mencecah ketinggian sehingga 4.5 meter.

"Hujan lebat berterusan juga diramalkan berterusan sehingga Khamis.

"Fenomena air pasang besar turut diramalkan bermula Khamis hingga Isnin dan situasi ini boleh meningkatkan risiko kepada semua komuniti maritim," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, pelbagai aktiviti seperti perjumpaan dengan komuniti dan rondaan pesisir telah digerakkan dari Pantai Tok Bali hingga Pantai Sri Tujuh bagi memberi kesedaran dan khidmat nasihat mengenai keselamatan di laut.

Ujarnya, melalui kempen tersebut komuniti maritim diharap dapat membuat persiapan terbaik agar keselamatan nyawa dan harta benda terjamin selain dapat mengekalkan prestasi sifar kes carilamat di perairan Kelantan.

Artikel Berkaitan: