TLDM kaji semula SOP, penugasan kapal berusia

Mohd Reza - Foto Bernama
Mohd Reza - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) berkenaan "sea worthiness” dan penugasan kapal-kapal miliknya yang sudah berusia.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, ini susulan insiden kapal His Thai Majesty’s Ship (HTMS) Sukhotai milik Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT) berusia 35 tahun yang karam pada Ahad lepas.

Katanya, kajian semula prosedur berkenaan perlu bagi mengelakkan risiko perkara serupa daripada berlaku ke atas kapal-kapal TLDM.

"Memandangkan 58 peratus daripada kapal-kapal TLDM berusia jauh lebih tua daripada HTMS Sukhotai, marilah kita seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar perkara serupa tidak akan menimpa kapal-kapal kita,” menurut kenyataan itu.

Beliau berkata, isu bajet pertahanan termasuk keusangan aset TLDM ini harus ditangani bagi mengelakkannya daripada membelenggu TLDM dalam jangka waktu yang panjang.

Sementara itu, TLDM mengucapkan takziah kepada seluruh warga TLDT susulan insiden yang menimpa HTMS Sukhothai dan berharap baki kelasi kapal yang hilang dapat ditemui dalam keadaan selamat.

HTMS Sukhothai yang membawa 105 kelasi mengalami kerosakan enjin dan karam kira-kira 20 batu nautika dari Wilayah Prachuap Khiri Khan pada kira-kira 11.30 malam (waktu tempatan) Ahad lepas. - Bernama