Azam menyimpan pada tahun baharu

No Image Caption
A
A
A

TAHUN 2022 hanya berbaki 10 hari sebelum lembaran takwim baharu menjelma.

Dalam tempoh setahun meniti hari, pastinya pelbagai suka duka ditempuhi, yang memberikan pengalaman bermakna untuk dijadikan pengajaran dalam meneruskan kehidupan.

Bagi kebanyakan daripada kita, tahun ini boleh dikatakan sebagai fasa mencabar dalam membina kembali kehidupan pasca pandemik Covid-19.

Walaupun sektor ekonomi kembali dibuka, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk menyusun rentak, apatah lagi di tengah-tengah kenaikan inflasi menyebabkan kedudukan kewangan yang sangat perit.

Perkara ini dibuktikan melalui dapatan daripada Soal Selidik Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2022 yang mendedahkan pelbagai kebenaran yang menyakitkan tentang keadaan kewangan semasa rakyat, termasuk simpanan yang semakin berkurangan, isu aliran tunai dan trend lain yang membimbangkan.

Soal selidik yang dilakukan sebuah laman web kewangan iaitu RinggitPlus.com (RinggitPlus) mendapati, seramai tujuh daripada 10 rakyat Malaysia menyimpan kurang daripada RM500 sebulan atau tidak menyimpan langsung, yang disifatkan paling teruk dalam tempoh lima tahun.

Tinjauan melibatkan 3,144 responden berumur 18 tahun ke atas daripada semua lapisan masyarakat itu juga menunjukkan hanya lima peratus rakyat negara ini menyimpan lebih daripada RM1,500 sebulan, turun 15 peratus berbanding 2021 dan 20 peratus pada 2020.

Selain itu, kesempitan kewangan bagi majoriti rakyat Malaysia dilihat semakin teruk, yang mana mereka menghadapi masalah kewangan, isu aliran tunai, kehabisan simpanan yang diburukkan dengan pandemik Covid-19 dan inflasi yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Sejumlah 63 peratus responden pula menyatakan mereka kini bergelut untuk bertahan dengan simpanan hanya boleh bertahan tiga bulan atau kurang, berbanding hanya 51 peratus pada tahun sebelumnya.

Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah, 82 peratus daripada mereka berpendapat simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka tidak mencukupi.

Daripada jumlah itu, 41 peratus pula menyatakan mereka tidak bersedia untuk hari tua manakala 66 peratus akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan dana jika KWSP membenarkannya.

Data itu adalah selari dengan kenyataan bekas Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah di Dewan Negara pada 8 Ogos lalu yang menyatakan tahap simpanan ahli KWSP adalah rendah dan sangat membimbangkan selepas empat pengeluaran – i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas serta pengurangan kadar caruman pekerja bagi tempoh 27 bulan.

Secara keseluruhannya, impak program-program berkaitan Covid-19 ini ke atas simpanan ahli dianggarkan sebanyak RM155 bilion.

"Setakat 30 Jun 2022, seramai 6.62 juta ahli atau 52 peratus daripada 12.78 juta keseluruhan ahli KWSP berumur di bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000," katanya.

Rancang wang tahun baharu

Tahun 2023 juga dijangka menjadi lebih mencabar dengan jangkaan kemelesetan ekonomi.

Presiden Bank Dunia David Malpass pada 13 Oktober lalu menyatakan, pihaknya telah menurunkan unjuran pertumbuhan 2023 daripada tiga peratus kepada 1.9 peratus bagi pertumbuhan global, yang dilihat semakin hampir dengan kemelesetan.

Jelasnya, ekonomi global semakin menjerumus kepada kemelesetan apabila kadar inflasi kekal tinggi, kadar faedah meningkat dan beban hutang bagi negara-negara membangun semakin meningkat.

Bagi menghadapi hari-hari sukar di kemudian hari, kita harus mula merancang kewangan sebaiknya.

Pelabur hartanah yang juga penulis buku kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad dalam satu perkongsian menyatakan, tahun baharu mungkin menjadi lebih sukar jika kita tidak merancang.

Justeru, beliau menasihatkan agar memulakan tahun baharu dengan membaca buku dan menimba ilmu kewangan, yang disifatkan sebagai pelaburan paling menguntungkan.

"Jadilah manusia yang 'kedekut' berbelanja tetapi 'boros' menyimpan dengan menggemukkan tabungan. Tahan nafsu dan fikirkan masa depan serta memasang impian beli rumah 'pelaburan' bukan rumah impian kita dulu.

"Jangan pinjam wang kawan, belajar hidup seadanya dengan wang yang ada serta simpan 10 peratus pendapatan sebagai permulaan. Mulakan sekarang jika tidak kita ketinggalan," jelasnya.

Beliau turut menitipkan nasihat iaitu jangan kedekut untuk melebihkan sumbangan tabung masjid kerana pahala berkekalan berganda.

*Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian