Harimau Malaya sedia benam Myanmar

Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen Piala AFF 2022 menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon pada Rabu. -Foto FAM
Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen Piala AFF 2022 menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon pada Rabu. -Foto FAM
A
A
A

HARIMAU Malaya melaungkan amaran sudah bersedia untuk menumbangkan Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2022 di Stadium Thuwunna, Yangon pada Rabu.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, barisan pemainnya kini berada pada momentum terbaik untuk mencuri tiga mata berharga biarpun rekod di laman lawan tidak memihak mereka.

“Kami sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan menentang Myanmar esok (Rabu). Semua pemain juga cergas dan berada pada tahap keyakinan yang tinggi.

“Kami akan beri persembahan terbaik dan cuba dapatkan keputusan yang positif. Perlawanan ini sangat penting kerana kita tahu Myanmar adalah salah sebuah pasukan yang agak sukar dalam Kumpulan B.

“Saya tidak mahu melihat rekod perlawanan lalu. Namun, saya percaya pemain sangat dahagakan kemenangan dan akan mencari kemenangan esok (Rabu),” katanya dalam sidang akhbar di Yangon pada Selasa.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan sudah berentap sebanyak enam kali sejak 2011 dengan Malaysia menang dua kali - Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 2011.

Namun, Malaysia tewas 0-1 kepada Myanmar dalam aksi Piala AFF di Stadium Thuwanna pada 26 November 2016 sebelum tumbang sekali lagi dengan keputusan sama dalam perlawanan persahabatan di gelanggang itu pada 29 Ogos 2017.

“Saya tahu away game selalunya sukar dan pasukan tuan rumah akan gunakan kelebihan mereka. Saya juga pernah menghadapi Myanmar dalam beberapa perlawanan, mereka mempunyai pemain yang bagus dan menarik.

Artikel Berkaitan:

“Namun, saya hanya fokuskan kepada pasukan saya sahaja dan mahu dapat tiga mata. Pemain yang dibawa kali ini juga adalah antara yang terbaik dan bersemangat bermain untuk negara,” ujarnya.

Selepas pertemuan menentang Myanmar, anak-anak buah Pan-gon hanya dapat 'berehat' dua hari sebelum menanti kunjungan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.


Safawi tekad julang Piala AFF

Selepas gagal dalam dua percubaan di pentas 'Piala Dunia Asia Tenggara' sebelum ini, Safawi Rasid berikrar mahu membantu Harimau Malaya merangkul kejuaraan Piala AFF 2022.

Safawi berkata, pertemuan menentang Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada Rabu cukup penting bagi melonjakkan semangat Harimau Malaya dalam memburu gelaran juara.

Safawi berazam membantu Harimau Malaya muncul juara Piala AFF kali ini. -Foto FAM
Safawi berazam membantu Harimau Malaya muncul juara Piala AFF kali ini. -Foto FAM

“Kami akan buat yang terbaik untuk negara. Secara peribadi, saya bermain Piala AFF tahun ini tidak hanya saya, pasukan dan staf ada misi besar untuk menang trofi ini.

“Apa juga yang berlaku, kami perlu beri yang terbaik untuk dapat piala ini. Walaupun pasukan dibarisi pemain baharu dan muda, tetapi kami mempunyai semangat dalam pasukan,” katanya.

Untuk rekod, Safawi yang akan menyertai kelab Liga Thailand, Ratchaburi FC sebaik kejohanan kali ini berakhir, hampir membantu Harimau Malaya muncul juara Piala AFF 2018.

Bagaimanapun, dia terpaksa akur dengan gelaran naib juara selepas Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Tan Cheng Hoe tewas 2-3 secara agregat kepada Vietnam.

Pada edisi di Singapura tahun lalu, tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) terus kempunan bergelar juara apabila Harimau Malaya gagal melepasi aksi peringkat kumpulan.

Mengulas mengenai suasana di kem Harimau Malaya menjelang aksi pembukaan menentang Myanmar, Safawi berkata: “Kami ada semangat yang tinggi dalam pasukan dan kami percaya kami mampu menang dalam kejohanan ini.”