[VIDEO] Anwar saman Muhyiddin dakwaan dibayar RM15 juta

Anwar (kiri) dan Muhyiddin
Anwar (kiri) dan Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan yang mendakwa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor.

Anwar, 75, selaku plaintif memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa melalui firma guamannya, SN Nair & Partners dengan menamakan Muhyiddin, 75, sebagai defendan tunggal.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa kenyataan tersebut dibuat oleh Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ketika ceramah 'Grand Finale PN Padang Serai' di Taman Selasih, Kulim pada 5 Disember lalu.

Menerusi dokumen yang diperoleh, Anwar berkata, kenyataan itu telah menyinggung perasaannya, dibuat ketika ceramah bagi menyokong calon PN, Datuk Azman Nasruddin.

Ia kemudiannya diterbitkan dalam aplikasi TikTok melalui akaun di bawah nama @beritakini8 yang mendapat 1.1 juta kali tontonan, 6,061 komen, 21,400 butang ‘like’, 1,360 ’favourite’, dan 2,169 perkongsian.

Tiga hari kemudian, keseluruhan ucapan dalam ceramah tersebut telah diterbitkan semula oleh defendan di akaun Facebooknya ‘Muhyiddin Yassin’ yang mana telah mendapat 42,000 tontonan; 506 komen; 2,800 reaksi dan 48 perkongsian.

Berdasarkan dokumen setebal 51 muka surat, Anwar berkata, artikel yang mengandungi kenyataan fitnah, palsu dan rekaan tersebut, diterbitkan oleh sebuah portal, telah dikongsi oleh masyarakat umum di peringkat negara dan antarabangsa.

“Kenyataan ini membawa maksud saya adalah seorang yang tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada Kerajaan Selangor, selain tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Ia turut menggambarkan saya menipu orang ramai dengan menyatakan telah menerima RM1 sebagai gaji, bukan seorang muslim yang baik, korup dan hipokrit,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan itu telah menjejaskan imej dan reputasinya sebagai Presiden PKR, Pengerusi PH, Ahli Parlimen Tambun, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia.

Sedangkan beliau berkata, kenyataan Ahli Parlimen Pagoh itu adalah tidak benar, melampau, keji, palsu dan tiada asas.

Menurutnya, sebagai seorang ahli politik dan Perdana Menteri kelapan, Muhyiddin sepatutnya lebih berhati-hati dalam membuat ucapan.

Katanya, defendan dengan jelas, sengaja tidak mengendahkan jawapan rasmi bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor penggal kelima pada 27 Mac 2012, yang menyatakan bahawa gajinya adalah sebanyak RM1.

“Ekoran fitnah tersebut, saya telah mengalami tekanan mental dan malu, maka saya berhak untuk menuntut ganti rugi teruk dan teladan,” katanya.

Justeru itu, beliau menuntut defendan untuk menarik balik, membuat memohon maaf dan aku janji untuk tidak mengulangi dakwaan selain membayar ganti rugi kepadanya.

Pada 7 Disember lalu, Anwar memberi tempoh tiga hari kepada Muhyiddin untuk membuat permohonan maaf tanpa syarat berhubung dakwaan fitnah tersebut.

Anwar turut memberi tempoh tiga hari kepada pemimpin PN itu untuk menarik balik video TikTok, serta membuat aku janji bertulis agar tidak lagi mengulanginya.