Omar minat mengemas sejak kecil

Omar (kanan) melipat kain di sebuah rumah pelanggan bersama pekerjanya.
Omar (kanan) melipat kain di sebuah rumah pelanggan bersama pekerjanya.
A
A
A

MELAKA - Walaupun kerja mencuci dan mengemas rumah didominasi wanita, tapi pemuda dari Tengkera di sini, berjaya membuktikan kerja tersebut mampu dilakukan lelaki.

Omar Saleh, 34, tidak hanya menjadikan minat mengemas sebagai hobi, namun jana pendapatan dengan mengusahakan perkhidmatan tersebut sejak setahun lalu.

Menurutnya, segalanya bermula apabila beliau yang ketika itu bekerja sebagai Senior Crew Leader Housekeping di sebuah hotel terkemuka di negeri ini membantu pelanggan hotel terbabit untuk membersihkan rumah yang telah lama ditinggalkan sebelum mendapat idea untuk memulakan perkhidmatan mengemas dari rumah ke rumah.

“Saya bertemu dengan pelanggan yang berasal dari negeri ini, namun telah berhijrah ke luar negara selepas berkahwin dengan warga Jerman.

“Dia minta tolong saya carikan orang bersihkan rumahnya yang ditinggalkan sebelum saya tawar diri dan kebetulan juga hari itu saya cuti,” katanya.

Tambahnya, beliau tidak hanya mengemas, namun turut dekorasi rumah berkenaan mengikut kreativiti sendiri sehingga membuatkan wanita itu gembira dan memberikan bayaran RM80.

Sanggup berhenti kerja

Menurutnya, beliau yang sejak kecil minat mengemas akhirnya tekad berhenti kerja dan menyediakan perkhidmatan itu yang tidak hanya terhad di sekitar Melaka.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas melihat prospek kerjaya tersebut boleh pergi lebih jauh. “Tugas mengemas itu luas dan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti menyapu sampah, namun pelbagai kerja lain termasuk mencuci lantai dan pinggan mangkuk, melipat pakaian, membersihkan sawang dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Ia mungkin bukanlah kerjaya yang popular, namun semakin mendapat permintaan selain terdapat juga institut pengajian tinggi yang telah mula menawarkan kursus dalam bidang berkenaan seperti kursus housekeeping,” katanya.

Bermula dari minat mengemas kini Omar (kiri) menjadikan ia sebagai kerjaya.
Bermula dari minat mengemas kini Omar (kiri) menjadikan ia sebagai kerjaya.

Ibu beri perangsang

Diuji kehilangan ayah sewaktu usia kanak-kanak tidak pernah menjadikan kekurangan itu sebagai halangan untuk berjaya, namun sebagai penguat semangat berdikari dan mampu mencari pendapatan sendiri tanpa menyusahkan orang lain.

Omar berkata, bagaimanapun beliau yang merupakan anak bongsu dari sebelas adik-beradik bersyukur ibunya yang hanya suri rumah sering memberikan perangsang dan semangat setiap usaha serta kerja yang dilakukan walaupun hakikatnya setiap pekerjaan itu tidak lari dengan pelbagai cabaran yang mendatang.

Menurutnya, walaupun perkhidmatan diusahakan tidak mempunyai pejabat sendiri dan bergerak bermula dari rumah, namun beliau mengambil peluang jaringan media sosial seperti Facebook dengan nama ‘Miesya Tengkera’ bagi mewar-warkan serta mengiklankan perniagaan yang dijalankan.

Katanya, beliau pernah mendapat tawaran mengemas paling jauh di Kampung Gerbi, Ayer Itam Alor Setar Kedah selain Kompleks Mahkamah Seremban dan Kolej Matrikulasi Tangkak, Johor.

“Apa yang menyeronokkan bila mendapat pelanggan yang senang berurusan dan ada yang bermurah hati memberikan bayaran lebih dari yang diminta.

“Ada juga pengalaman mengemas rumah pelanggan mahu berpindah atau stor lama sudah pasti banyak barang yang masih elok dan kebanyakan mereka memberikan kepada saya, jadi boleh saya gunakan atau sedekah kepada yang memerlukan,” katanya.

Jelasnya, selain perkhidmatan itu, beliau turut mengajar mengaji bersama rakannya pada setiap Selasa hingga Khamis bermula pada jam 6 petang hingga 7 malam di Balai Panjang dan di rumahnya dari jam 8 malam hingga 10 malam.

“Sebab itu saya akan pastikan pada hari tersebut saya perlu menyiapkan tugas sebelum jam 6 petang dan kalau ada permintaan saya turut membuat perkhidmatan dekorasi rumah serta membuat gubahan hantaran dan juga tempahan katering,” katanya.

Tambahnya, apa yang diharapkan bukan sahaja mempunyai pekerja yang ramai dan tetap dalam masa sana dapat mempelbagaikan lagi perniagaan dan memiliki pejabat sendiri untuk memudahkan lagi urusan dan menambahkan kepercayaan pelanggan.

“Saya yakin jika kita buat apa jua kerja dengan jujur dan amanah, pelanggan akan bertambah dan pelanggan lama juga tidak serik menggunakan perkhidmatan kita lagi,” katanya.