Banjir Terengganu makin buruk, 37,792 mangsa dipindahkan

Anggota Bomba sedang membantu memindahkan penduduk yang terjejas banjir. - Foto bomba
Anggota Bomba sedang membantu memindahkan penduduk yang terjejas banjir. - Foto bomba
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk dengan jumlah penduduk yang dipindahkan pada Selasa kini mencecah 37,792 orang berbanding 23,164 orang pada jam 6 petang Isnin.

Sehingga jam 8 pagi Selasa, sebanyak 310 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 10,401 keluarga melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Marang, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Kemaman merupakan daerah paling teruk terjejas apabila 12,000 penduduk dari 3,094 keluarga sudah dipindahan ke 37 PPS.

Di Besut, seramai 8,228 mangsa banjir melibatkan 2,250 keluarga kini ditempatkan di 92 PPS manakala Hulu Terengganu merekodkan 6,691 mangsa dari 2,097 keluarga dan semua mereka dipindahkan ke 61 PPS.

“Sebanyak 56 PPS kini dibuka di Setiu bagi menempatkan 3,988 mangsa dari 1,196 keluarga terjejas banjir yang mula melanda daerah itu sejak tiga hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Jurucakap JPBN turut memaklumkan daerah Dungun merekodkan seramai 659 keluarga melibatkan 2,484 mangsa turut dipindahkan ke 36 PPS diikuti 1,900 penduduk di Kuala Terengganu yang kini ditempatkan di 10 PPS.

Menurutnya, Kuala Nerus turut terjejas banjir apabila 1,521 penduduk dari 371 keluarga dipindahkan ke 10 PPS apabila rumah mereka dinaiki air.

“Seramai 231 keluarga melibatkan 980 penduduk di Marang sudah berpindah ke lapan PPS dan keadaan cuaca sekarang masih hujan lebat,” katanya.

Artikel Berkaitan: